PETALING JAYA: Ibu kepada penerbit dan pengarah, Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail tampil mengejutkan ramai selepas berkongsi fotonya bersama anaknya itu, sebentar tadi.
Momen itu telah dikongsikan oleh isteri kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam itu menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Dalam perkongsian tersebut, Patimah turut menggunakan muzik latar belakang yang menggambarkan dirinya bersyukur anaknya itu sudah kembali ke pangkuan mereka.
Sementara itu, Patimah juga berkongsi foto mesra anaknya itu bersama pelakon, Puteri Sarah Liyana dan anak kedua mereka, Sumayyah.
Sebelum ini, Yusof pernah berkongsi bahawa pengarah filem Mat Kilau itu sudah jarang pulang ke rumah dan berhubung dengan mereka meskipun pada musim perayaan sejak isu rumah tangganya bersama bekas isterinya, Puteri Sarah.
Namun, Yusof menyatakan dia sudah berlapang dada dengan tindakan anaknya itu sekiranya enggan pulang ke pangkuan mereka. -UTUSAN




