Syanie rindu suasana set penggambaran

Syanie rindu suasana set penggambaran

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Syanie Hisham, 51, mengakui sudah hampir dua tahun tidak menerima sebarang tawaran berlakon sama ada drama mahupun filem.

Menurut Syanie, keadaan itu sedikit pelik namun dia memilih untuk menerimanya dengan hati terbuka dan kekal positif terhadap rezekinya dalam industri seni.

“Januari tahun depan genap dua tahun saya tidak berlakon. Tiada drama, filem atau tawaran apa pun.

“Nak kata saya berhenti berlakon, tidak. Cuma memang tiada tawaran langsung. Pelik juga bila fikir, takkan orang langsung tak ingat kita.

“Mungkin sebab saya sudah berhijab atau berbadan sebegini, jadi susah nak sesuaikan dengan watak tertentu. Tapi saya tak mahu fikir negatif,” katanya kepada Harian Metro.

Syanie yang mula berhijab sejak 2021 berkata, walaupun tidak aktif berlakon, dia kini lebih banyak mengisi masa dengan menjalankan perniagaan serta membuat siaran langsung di TikTok bagi berinteraksi dengan peminat yang merinduinya.

“Ramai yang tanya kenapa saya dah lama tak muncul di TV. Jadi saya buat ‘live’ di TikTok untuk berkongsi apa yang saya buat sekarang dan menjawab pertanyaan mereka.

“Sebenarnya, saya rindu nak ke set penggambaran, berlatih dialog dan dengar perkataan ‘action’.

“Kalau diberi peluang pun, saya tak kisah watak kecil asalkan masih dapat terus berada dalam industri,” katanya.

Tambah pelakon filem Jaga-Jaga Senariounion itu, kali terakhir dia terbabit dalam dunia lakonan ialah menerusi filem Budak Flat yang ditayangkan pada 2023.

Bagaimanapun, bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua itu tidak berkecil hati dengan situasi berkenaan kerana percaya rezeki masih luas dalam bidang lain.

“Kecil hati itu tidak, tapi sedih itu ada sedikit. Tapi saya tak kecewa sebab yakin rezeki tidak pernah salah alamat.

“Kalau bukan dari lakonan, mungkin dari perniagaan atau reviu produk yang saya buat. Alhamdulillah, masih boleh menjana pendapatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top