am@hmetro.com.my
Bagan Datuk: Syarikat tempatan dan antarabangsa diseru supaya mengambil pekerja orang kurang upaya (OKU) berkemahiran yang bergraduasi dari institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menyediakan pelbagai galakan kepada syarikat termasuk pemberian insentif sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja OKU.
“Ini adalah usaha baik. Jadi, saya menyeru bukan hanya syarikat dalam negara, tapi (syarikat) luar negara sila beri keprihatinan terhadap pekerja OKU.
“Kurang upayanya hanya anggota badan, tapi dari segi produktiviti mereka adalah sama baik, kalau pun tidak sama dengan pekerja lain (yang sempurna tubuh badan),” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Ahmad Zahid turut memuji usaha berterusan dikendalikan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta agensinya, Perkeso dalam penganjuran program MyFutureJobs yang terbukti berkesan mengurangkan kadar pengangguran.
“Kita lihat kadar pengangguran di negara kita yang agak tinggi satu ketika dahulu sudah menurun.
“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara setakat Oktober 2024 kekal pada paras 3.2 peratus bersamaan 551,400 orang.
“Kita lihat peluang pekerjaan bukan sahaja dalam industri domestik, malah pelabur dalam negara, ditambah pelaburan daripada luar negara memperlihatkan peluang (pekerjaan) itu terlalu besar dan ruang pengangguran semakin mengecil,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, berlaku peningkatan ketara dalam bilangan individu menyertai institusi TVETpada 2024 berbanding tahun sebelumnya, sekali gus memperlihatkan penerimaan golongan ibu bapa dan pelajar.
Menurutnya, seramai 280,000 individu menyertai 1,398 institusi TVET seluruh negara pada 2024 berbanding 130,000 individu pada 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




