farid_noh@bh.com.my
Johor Bahru: Syarikat yang terbabit membuang sampah ke sungai di Taman Sri Plentong, Masai di sini, Isnin lalu, akan dihadapkan ke mahkamah.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad, berkata satu kertas siasatan telah dibuka bagi tujuan pendakwaan syarikat berkenaan di mahkamah.
“SWCorp Johor telah menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai tindakan tidak bertanggungjawab individu membuang sampah ke dalam sungai di persimpangan masuk ke Kampung Makmur, Plentong membabitkan Jalan Kemunting, Taman Sri Plentong dengan pelakunya sudah dikenal pasti.
“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi pendakwaan di mahkamah.
“Sekiranya sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam, syarikat yang bertanggungjawab membuang sampah ke dalam dan tepi sungai di Taman Sri Plentong, Masai di sini, Isnin lalu, dilaporkan dikenakan kompaun RM1,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, dua kompaun masing-masing bernilai RM500 itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selepas siasatan dilakukan terhadap lori syarikat terbabit susulan tular video insiden berkenaan dalam media sosial.
Kelmarin, media melaporkan perbuatan dua lelaki membuang sampah ke dalam dan tepi sungai di Taman Sri Plentong dipercayai kira-kira jam 6.30 petang Isnin lalu, berjaya dirakam pengguna jalan raya.
Rakaman kamera papan pemuka kereta berdurasi 2 minit 11 saat yang tular itu antara lain memaparkan seorang lelaki berbaju merah membuang sampah dipercayai kepingan kotak dari sebuah lori sarat dengan muatan, ke dalam sungai.
Pengguna jalan raya terbabit menegur perbuatan mereka itu dan meminta sampah terbabit dikutip semula, selain memberi amaran akan melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd