Syarikat didenda RM70,000, gagal pastikan keselamatan tempat kerja hingga 3 maut

Syarikat didenda RM70,000, gagal pastikan keselamatan tempat kerja hingga 3 maut

am@hmetro.com.my

Melaka: Sebuah syarikat didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas disabitkan atas pertuduhan gagal memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sehingga mengorbankan tiga pekerja subkontraktor, tahun lalu.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman ke atas Dragon Alliance Metals Sdn Bhd selaku orang kena saman (OKS) selepas pengurusnya menukar pengakuan kepada bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan syarikat dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, namun OKS menjelaskan bayaran itu.

Mengikut pertuduhan, syarikat sebagai majikan gagal mengambil apa-apa langkah perlu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mana-mana pekerja yang diambil bekerja oleh subkontraktor, termasuk tidak menyediakan penyeliaan oleh jurutera projek dalam kerja merombak loji dan mesin.

Kegagalan itu menyebabkan kemalangan terhadap N Pavintihiran dan dua warga Bangladesh, Mohammad dan Abrar Alam Kaif.

Kesalahan didakwa dilakukan di tapak projek Dismantling of Plant & Machinery di Kawasan Perindustrian Tangga Batu pada 24 Februari 2025, jam 10 pagi.

OKS didakwa mengikut Seksyen 18A(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau dengan kedua-duanya, jika disabitkan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka, Mohamad Nazaruddin Jaafar, manakala OKS diwakili peguam Jewel Shreya Naidu.

Pihak pendakwaan menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan kerana kecuaian dalam penyeliaan kerja merombak mesin menyebabkan kebakaran besar dan meragut tiga nyawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top