am@hmetro.com.my
Butterworth: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM130,000 ke atas sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan bahan api selepas didapati bersalah mengemukakan maklumat palsu dan dokumen diperlukan berhubung pembelian diesel, tiga tahun lalu.
Hakim Nor Azah Kasran membuat keputusan itu apabila pengarah syarikat berkenaan, Lai Yong Keong, 47 membuat pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd selaku pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel didapati dalam pengetahuan telah memberikan maklumat palsu dalam borang Arahan Mengemukakan Maklumat berhubung sembilan invois atau resit pembelian minyak diesel.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya, jam 10.30 pagi, pada 18 Februari 2023.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, syarikat itu didakwa mengemukakan maklumat berkaitan dokumen iaitu penyata kewangan bank di bawah sebuah syarikat pembekalan minyak seperti yang diminta Pegawai Bekalan melalui borang Arahan Mengemukakan Maklumat Barang Kawalan Di Bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara 18 Februari hingga 10 Mac 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi badan korporat, manakala tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kali kedua, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Preeya Darrsini dan pengarah syarikat terbabit diwakili peguam, Muhammad Syazwan Mohd Salleh.
Semasa prosiding, Muhammad Syazwan merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum atas alasan syarikat memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mencegah peniaga lain daripada melakukan kesalahan sama.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM130,000 dan pengarah syarikat membayar denda berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




