PETALING JAYA: Syarikat kesihatan global dijangka terus memperkukuh strategi bagi mendepani risiko dan cabaran baharu dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar menjelang tahun kewangan 2026, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun isu kekurangan tenaga kerja dijangka semakin stabil berbanding tempoh pasca pandemik, tekanan kos kekal menjadi kebimbangan utama.
“Inflasi bekalan perubatan diramal terus berada pada paras tinggi sepanjang tahun, sekali gus berpotensi mengekang usaha hospital untuk memulihkan margin keuntungan ke tahap pra-pandemik.
“Sehubungan itu, penyedia perkhidmatan kesihatan dijangka menstruktur semula operasi dengan memberi tumpuan kepada kepakaran dan rawatan ber-margin tinggi seperti kardiovaskular dan ortopedik, berbanding perkhidmatan rawatan am yang menawarkan pulangan lebih rendah,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dalam sektor peranti perubatan, industri dijangka berdepan tekanan jangka pendek susulan pemotongan harga produk diagnostik di China, yang boleh menjejaskan prestasi kewangan bagi separuh pertama tahun kewangan 2026.
“Bagaimanapun, prospek dijangka kembali stabil disokong oleh peningkatan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam peralatan perubatan, serta pertumbuhan berterusan permintaan bagi ujian makmal dan perkhidmatan pengimejan,” katanya.
Bagi industri farmaseutikal pula, pertumbuhan hasil dijangka terus dipacu oleh permintaan kukuh terhadap ubat kategori GLP-1 dan terapi onkologi.
Namun begitu, tekanan harga yang semakin meningkat serta persaingan sengit dalam kalangan syarikat farmasi utama global kekal menjadi risiko utama, khususnya kepada syarikat yang mempunyai pendedahan tinggi di pasaran luar Amerika Syarikat dan yang bergantung kepada kecekapan pengurusan kos dalaman.
Secara keseluruhan, landskap sektor kesihatan global pada tahun kewangan 2026 dijangka terus dinamik, dengan syarikat perlu lebih proaktif dalam mengimbangi pertumbuhan pendapatan dan pengawalan kos bagi memastikan daya tahan keuntungan. – UTUSAN




