Hangzhou, China: Syarikat “pura-pura” yang membantu golongan penganggur berlakon seolah-olah mempunyai pekerjaan dengan bayaran yang kecil kini tumbuh pesat di seluruh China, lapor South China Morning Post.
Trend ini amat ketara di bandar-bandar utama di mana individu menyewa ruang pejabat dengan bayaran antara 30 hingga 50 yuan (kira-kira RM17 hingga RM29) sehari.
Salah seorang pengusahanya, Chen Yingjian dari Hangzhou di wilayah Zhejing, timur China turut menjalankan “temu duga pura-pura” dan menetapkan kod etika seperti waktu bekerja dan larangan bercinta di pejabat untuk menjadikan suasana lebih realistik.
Banyak syarikat ini tidak didaftarkan secara rasmi dan menjadi pilihan golongan muda sebagai ruang selamat daripada tekanan mencari pekerjaan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi.
Seorang wanita muda misalnya, hanya “bekerja” selama sehari semata-mata untuk mengambil swafoto di pejabat bagi dihantar kepada ibunya sebagai bukti dia “sudah mendapat pekerjaan”.
Kisah lain membabitkan Ryan, 25, yang sudah enam bulan “bekerja” di sebuah syarikat seumpama itu selepas gagal mendapat pekerjaan selama 18 bulan selepas tamat pengajian.
Katanya, dia sentiasa menghantar “gambar kerja” kepada ibu bapanya dan rutin harian itu memberikannya rasa selamat.
Walaupun ada yang menganggap trend membayar untuk bekerja ini tidak masuk akal, sesetengah syarikat menawarkan makan tengah hari dan kopi percuma selain peluang bertemu rakan senasib.
Ryan percaya populariti syarikat ini berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak bertoleransi terhadap individu yang tidak bekerja atau berehat.
Statistik rasmi menunjukkan kadar pengangguran belia di China adalah 15.8 peratus pada separuh pertama 2025, manakala kadar pengangguran bandar adalah 5.2 peratus.
Namun, ramai di media sosial mengadu tentang kesukaran mencari pekerjaan dengan gaji berpatutan, apatah lagi yang menawarkan cuti dua hari seminggu.
Syarikat milik Chen juga berpotensi menawarkan pekerjaan sebenar kepada “pekerjanya” kerana dia turut mengendalikan beberapa perniagaan lain yang sah.
“Saya rasa ia berbaloi walaupun hanya untuk internet dan penyaman udara secara percuma. Ia lebih berbaloi jika kita bertemu dengan orang yang sehaluan di sana,” kata seorang pengguna perkhidmatan itu.
“Saya lebih fokus di pejabat palsu ini, tetapi saya berharap suatu hari nanti saya boleh berhenti berpura-pura dan mencari pekerjaan sebenar,” kata seorang lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




