Syarikat korporat, industri beli minyak di pam berdepan tindakan – Amir Hamzah

Syarikat korporat, industri beli minyak di pam berdepan tindakan – Amir Hamzah

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi amaran untuk mengambil tindakan penguatkuasaan kepada mana-mana syarikat korporat dan industri yang bertindak membeli minyak pada harga pam secara diam-diam, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata syarikat sedemikian sepatutnya membeli minyak secara terus daripada syarikat minyak pada harga pasaran RM7 hingga RM8 seliter berbanding harga diesel di stesen minyak pada RM6.72 seliter yang sebahagian daripada kosnya masih lagi diserap oleh kerajaan.

“Kerajaan memberi amaran kepada syarikat-syarikat ini untuk menghentikan aktiviti channel switching atau berdepan dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global hari ini.

Selain memantau aktiviti itu untuk memastikan bekalan dalam negara, katanya kerajaan juga meningkatkan usaha penguatkuasaan untuk membanteras penyeludupan dan penyelewengan.

Harga subsidi RON95 di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April ini manakala harga runcit tanpa subsidi naik 40 sen kepada RM4.27 seliter.

Bagi diesel, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung meningkat 70 sen kepada RM6.72 seliter.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga berterima kasih kepada rakyat yang melaporkan salah laku kepada pihak berkuasa seperti warga asing yang mengisi kereta mereka dengan RON95 serta aktiviti yang mencurigakan di stesen minyak dan di sempadan negara.

“Semangat kebersamaan inilah yang membantu kita dalam menghadapi krisis. Dalam keadaan dunia yang masih tidak menentu ini, kekuatan kita terletak pada kesepakatan, kesederhanaan dan kebersamaan.

“Kita perlu tanamkan semangat dan azam yang kuat sebagai satu masyarakat yang bersatu padu,” katanya.

Mengenai ekonomi negara, Amir Hamzah berkata Malaysia melangkah masuk tahun 2026 dengan momentum pertumbuhan ekonomi yang amat memberangsangkan disokong oleh permintaan domestik yang baik, pengembangan eksport yang membanggakan, inflasi yang terkawal, pengangguran yang rendah serta prestasi ringgit yang muncul sebagai mata wang terbaik Asia.

“Kedudukan inilah yang menjadikan Malaysia unik, berbanding negara-negara lain di rantau ini. Dengan asas ekonomi yang kukuh, Malaysia terus berdaya tahan dalam mendepani krisis tenaga global.

“Keadaan ini berlaku kerana sejak tiga tahun lepas, Malaysia telah mengamalkan dasar-dasar penting yang dapat memacu ekonomi dan pada masa yang sama, meletakkan disiplin fiskal yang ketat,” katanya.

Beliau berkata penyasaran subsidi, contohnya, antara dasar penting yang telah membina ruang fiskal yang ternyata dapat membantu negara menyerap kejutan ekonomi yang berlaku hari ini.

“Hari ini, Malaysia telah menunjukkan daya tahan, daya saing dan kestabilan yang menyebabkan pelabur asing terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Inilah hikmahnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top