Kuala Lumpur: Syarikat logam berharga bersepadu, Public Gold Group berjaya menjadi ahli antarabangsa dalam Shanghai Gold Exchange (SGE) iaitu satu platform perdagangan emas yang paling berpengaruh di dunia.
Ini menjadikan Public Gold sebagai syarikat Malaysia pertama yang memperoleh pencapaian berkenaan.
Pencapaian bersejarah ini meletakkan kedudukan Public Gold di barisan hadapan dalam industri logam berharga ASEAN sekali gus memberikan akses langsung kepada rangkaian perdagangan global SGE, infrastruktur penghantaran fizikal dan kontrak emas yang dinilai dalam yuan Renminbi.
Syarikat itu berkata, penyertaan ini juga membolehkannya memperoleh serta menghantar emas melalui rangkaian peti simpanan antarabangsa SGE dengan lokasi strategik di Shanghai, Shenzhen dan Hong Kong.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Louis Ng berkata, menyertai SGE bukan sekadar pencapaian perniagaan, tetapi ia juga merupakan langkah strategik bagi menghubungkan Malaysia secara langsung dengan pasaran emas terpenting di dunia.
“Dengan kehadiran yang semakin berkembang di Dubai, India, London dan seterusnya, Public Gold bersedia untuk membina rangkaian global yang benar-benar memberi manfaat kepada pelanggan kami serta industri emas Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Selain daripada keanggotaan SGE, Public Gold kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh keahlian dengan India International Bullion Exchange (IIBX) dan akan memasuki pasaran London, seterusnya memperluas jangkauannya ke satu daripada pusat perdagangan emas terbesar dan paling kukuh di dunia.
“Dengan kehadirannya di Dubai iaitu pusat perdagangan emas utama di Timur Tengah, Public Gold kini dapat menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan rakan kerjasamanya di seluruh Asia, Timur Tengah dan tidak lama lagi, Eropah,” kata Public Gold.
© New Straits Times Press (M) Bhd




