am@hmetro.com.my
Putrajaya: Syarikat dan agensi pelancongan perlu bertanggungjawab membawa pulang jemaah umrah di bawah kendalian mereka yang terkandas susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, syarikat terbabit harus mengurus sepenuhnya jemaah masing-masing, termasuk urusan penjadualan semula penerbangan pulang.
Katanya, kerajaan ketika ini memberi keutamaan untuk menguruskan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas, khususnya mereka yang terperangkap di lapangan terbang ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air.
“Mana yang (pergi) melalui ‘travel agent’, ‘travel agent’ perlu bertanggungjawab bawa balik jemaah mereka. Tiket MAS (Malaysia Airlines), MAS kena bawa balik. AirAsia punya tiket, AirAsia perlu bawa mereka balik. Batik Air punya tiket, Batik Air mesti bawa mereka balik.
“Penerbangan biasa dah dipulihkan semula. Kalau jemaah tunjuk ada ‘confirmation’, jadi tanggungjawab syarikat untuk membawa mereka yang sudah bayar tiket. Tak bolehlah nak harap kerajaan Malaysia sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Wisma Putra, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, terdapat tiga kategori rakyat Malaysia yang terjejas akibat penutupan ruang udara di beberapa negara di Asia Barat.
Jelasnya, buat masa ini kerajaan menguruskan kategori pertama dahulu iaitu mereka yang terkandas tiga hingga lima hari di lapangan terbang ketika transit untuk penerbangan pulang.
“Kategori kedua pula membabitkan rakyat Malaysia yang menunaikan umrah secara persendirian, manakala kategori ketiga ialah rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau bermastautin di negara berkenaan,” katanya.
Mohamad berkata, kerajaan bagaimanapun mengambil tanggungjawab membantu jemaah yang menunaikan umrah secara persendirian dan terkandas tanpa pengurusan mana-mana pihak.
“Jumlah mereka tidak ramai, kira-kira 500 hingga 600 orang yang pergi umrah secara persendirian dan terkandas,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan itu ditempatkan sementara di kemudahan Tabung Haji dengan makan minum disediakan sebelum diatur penerbangan pulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




