LONDON: Syarikat penerbangan sedang merangka pelan kecemasan susulan amaran kekurangan bahan api jet boleh mengganggu perjalanan udara global dalam beberapa minggu, berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Asia Barat.
Pemimpin industri berkata, bekalan di sesetengah kawasan mungkin terjejas apabila konflik mengancam aliran bahan api.
Eksekutif syarikat penerbangan berkata, ketidaktentuan mengenai ketersediaan bahan api semakin membimbangkan, terutamanya dalam jangka masa yang lebih panjang.
Ketua syarikat penerbangan bajet easyJet, Kenton Jarvis berkata, pembekal menjamin penghantaran untuk tiga minggu akan datang tetapi memberikan sedikit jaminan selepas tempoh tersebut, menurut laporan oleh Financial Times.
“Namun tiada siapa memberitahu ‘kami tiada masalah segera dalam enam minggu’, kerana mereka tidak bersedia untuk mengatakannya,” tambah Jarvis.
Potensi kesan mungkin berbeza mengikut kawasan. Walaupun UK dan sebahagian Eropah dipercayai mempunyai bekalan mencukupi buat masa ini, syarikat penerbangan jarak jauh menghadapi risiko lebih tinggi apabila beroperasi di kawasan yang bergantung kepada bahan api.
Ketua eksekutif Air France-KLM, Ben Smith berkata: “Kami sedang merangka pelan hari ini untuk membuat senario tentang bagaimana kami akan menangani kekurangan bahan api.”
Kebimbangan ini amat ketara di Asia Tenggara, di mana kebergantungan kepada bekalan bahan api dari Teluk lebih tinggi.
Smith memberitahu Financial Times: “Asia Tenggara jauh lebih bergantung kepada bahan api yang datang dari Teluk berbanding Eropah.”
“Kita boleh mendapatkan bahan api dari Eropah, tetapi apabila kita pergi ke sebuah bandar di Asia Tenggara, kita tidak akan dapat menerbangkan pesawat kembali. Jika tiada bahan api, pesawat tidak boleh terbang.”
Pengarah urusan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, Willie Walsh, memberi amaran: “Ini merupakan isu bekalan yang lebih besar daripada yang pernah kita lihat sebelum ini.”
Syarikat penerbangan menasihatkan pengurangan jadual penerbangan mungkin berlaku sekiranya kekurangan bahan api bertambah teruk, yang berpotensi menjejaskan perjalanan semasa musim cuti puncak.
Sementara itu, harga minyak mentah Brent diniagakan pada AS$108.27 (RM426.38) di pasaran hadapan antarabangsa, turun 0.3 peratus bagi minggu berakhir Jumaat.
Langkah-langkah seperti persetujuan negara anggota International Energy Agency untuk melepaskan 400 juta tong rizab petroleum strategik, pengecualian sementara AS ke atas sekatan minyak Rusia yang terperangkap di laut, serta penggantungan undang-undang maritim tertentu, masih tidak mencukupi untuk menghentikan kenaikan harga minyak.


