Syarikat penghantaran tawar pakej berlutut, kowtow sempena Tahun Baharu Cina

Syarikat penghantaran tawar pakej berlutut, kowtow sempena Tahun Baharu Cina
Syarikat penghantaran tawar pakej berlutut, kowtow sempena Tahun Baharu Cina

Risalah yang dikeluarkan syarikat penghantaran itu memaparkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan. Foto QQ.com

HENAN – Sebuah syarikat penghantaran di China memperkenalkan perkhidmatan unik bagi menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada keluarga bagi pihak pelanggan.

Memetik laporan South China Morning Post, perkhidmatan ditawarkan syarikat UU Paotui termasuk berlutut dan melakukan kowtow sebagai simbol hormat kepada warga emas, sekali gus menggantikan kunjungan keluarga secara bersemuka semasa perayaan.

Langkah tersebut diperkenalkan menerusi aplikasi milik syarikat berkenaan pada 9 Februari sebagai perkhidmatan terhad masa sempena musim perayaan.

Syarikat itu menawarkan tiga pakej berbeza kepada pelanggan yang mahu menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada ahli keluarga dari jarak jauh.

Pakej pertama melibatkan pembelian dan pemasangan ayat kaligrafi di pintu rumah, selain pembersihan asas pintu.

Perkhidmatan itu ditawarkan pada harga kira-kira RM22 (39 yuan) untuk tempoh satu jam dan disasarkan kepada pelanggan yang mahukan persiapan asas rumah dilakukan menjelang perayaan.

Pakej kedua pula merangkumi pembelian hadiah, penyampaian ucapan ringkas kepada keluarga serta pengumpulan angpau daripada warga emas.

Perkhidmatan tersebut berharga kira-kira RM112 (199 yuan) bagi tempoh dua jam, dengan wang yang diterima akan dipindahkan kepada pelanggan oleh kurier.

Pakej ketiga yang paling menarik perhatian menggabungkan dua pakej terdahulu, selain menambah ucapan bertuah selama satu minit dan upacara kowtow tradisional kepada warga emas.

Perkhidmatan premium itu ditawarkan pada harga kira-kira RM565 (999 yuan) untuk tempoh dua jam dan membolehkan pelanggan menonton ritual berkenaan secara langsung menerusi penstriman video.

Bagaimanapun, perkhidmatan ditawarkan mencetuskan kontroversi hingga syarikat itu menarik balik perkhidmatan kowtow daripada platformnya pada 11 Februari.

Syarikat itu hanya menawarkan perkhidmatan menggantung ayat hiasan, pembelian hadiah dan penyampaian ucapan.

Sebelum ini, syarikat terbabit turut menjadi perhatian selepas menawarkan perkhidmatan pembersihan kubur semasa Festival Qing Ming tahun lalu.

Ringkasan AI

  • Syarikat penghantaran di China memperkenalkan perkhidmatan menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina dengan kowtow kepada keluarga dari jauh
  • Perkhidmatan termasuk berlutut dan melakukan kowtow sebagai simbol hormat kepada warga emas, ditawarkan melalui aplikasi pada 9 Februari
  • Tiga pakej berbeza ditawarkan untuk menyampaikan ucapan kepada keluarga, termasuk pembersihan pintu, penyampaian hadiah, dan ucapan bertuah dengan upacara kowtow
  • Harga perkhidmatan bermula dari RM22 hingga RM565, membolehkan pelanggan menonton ritual secara langsung menerusi penstriman video
  • Kontroversi mencetuskan syarikat menarik balik perkhidmatan kowtow, hanya menawarkan perkhidmatan menggantung ayat hiasan, pembelian hadiah, dan penyampaian ucapan
Scroll to Top