am@hmetro.com.my
Alor Setar: Syarikat percetakan NE Creative Ventures memohon maaf secara terbuka kepada Pejabat Menteri Besar Kedah susulan kesilapan cetakan bintang pada pakaian Jalur Gemilang yang dipakai Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa kenamaan ketika menghadiri program Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang, Jumaat lalu.
Menerusi surat rasmi kepada Pejabat Menteri Besar Kedah, syarikat yang berpangkalan di Ayer Keroh, Melaka itu mengakui berlaku kekhilafan dalam proses pengeluaran sehingga menyebabkan jumlah bucu bintang pada cetakan Jalur Gemilang tidak menepati spesifikasi rasmi.
Syarikat itu turut mengambil tanggungjawab penuh terhadap kesilapan berkenaan dan akan membuat pembetulan segera dengan menyediakan pakaian gantian baharu yang mematuhi spesifikasi rasmi Jalur Gemilang.
“Reka bentuk pakaian tersebut dicetak berdasarkan bahan rujukan fail (artwork) yang diterima sebelum melalui proses tracing teknikal pada fasa pengeluaran.
“Pihak kami mengakui berlaku kekhilafan selepas menerima tempahan tambahan pada saat akhir bagi memenuhi tarikh akhir yang singkat, mengakibatkan proses semakan terperinci (kawalan kualiti) kurang teliti,” katanya.
Syarikat itu berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menghargai teguran serta komen orang ramai selepas gambar program berkenaan tular di media sosial.
Katanya, insiden itu dijadikan pengajaran untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP), khususnya membabitkan penghasilan pakaian yang mempunyai lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat.
“Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali dan kami amat menghargai kerjasama serta toleransi daripada pihak yang terbabit.
“Mulai hari ini, syarikat akan mewajibkan pelanggan menandatangani borang pengesahan draf akhir sebelum sebarang proses cetakan, terutama membabitkan lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat,” katanya.
Sebelum ini, gambar Muhammad Sanusi dan beberapa kenamaan yang memakai pakaian berkenaan tular di media sosial sehingga mengundang kritikan orang ramai selepas cetakan bintang pada Jalur Gemilang didapati tidak mempunyai 14 bucu seperti yang sepatutnya.
Pakaian berkenaan dipakai sempena program Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-69 yang diadakan Jumaat lalu.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dan DUN Suka Menanti itu dirasmikan Menteri Besar Kedah dengan hampir 100 bot menyertai perarakan bermula dari Kampung Alor Madi hingga ke Muzium Negeri sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

