Syarul Ezani Tanguh Kahwin, Syukur Kekasih Hati Faham Keadaan – “Kos Adakan Majlis Sangat Mahal”

Syarul Ezani Tanguh Kahwin, Syukur Kekasih Hati Faham Keadaan – “Kos Adakan Majlis Sangat Mahal”

Pelakon, Syarul Ezani mengakui terpaksa menangguh perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama wanita yang sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu.

Syarul atau nama sebenarnya Ezani Mohamed Ezzudeen, 36, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos perbelanjaan majlis perkahwinan yang semakin meningkat, selain kesibukan jadual kerja.

“Perancangan untuk berkahwin tetap ada, cuma bukan pada tahun ini. Saya perlu tangguhkan sedikit kerana jadual penggambaran yang padat.

“Kalau tanya saya, memang ada keinginan nak kahwin, seronok tengok ramai kawan dah berumah tangga dan dapat sokongan daripada isteri masing-masing.

“Tapi banyak perkara perlu difikirkan, termasuk kos majlis yang semakin tinggi. Semua orang tahu, nak buat majlis sekarang memang perlukan bajet besar,” katanya.

Aktor Kami The Series itu ditemui ketika sesi fotografi drama Hospital Loveline di Balai Berita, Bangsar pada Khamis.

Mengulas reaksi kekasihnya mengenai penangguhan tersebut, Syarul meluahkan rasa syukur kerana wanita itu memahami situasi yang dihadapinya.

“Dia (kekasih) okay sahaja, dia pun faham. Kami berbincang dan sama-sama bersetuju untuk tangguh dahulu majlis.

“Kalau keluarga, sudah pasti mereka mahukan segera. Namun perancangan rapi perlu dibuat dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syarul bakal membintangi drama Hospital Loveline yang bakal disiarkan di TV3 pada 4 September depan.

Selain Syarul, drama 13 episdo ini turut dibintangi Scha Elinnea, Sean Lee, Kismah Johar, Hanna Aqeela dan ramai lagi.

Scroll to Top