am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Syasya Rizal berkongsi hantaran berkaitan impak penghijrahan kepada dirinya selepas membuat keputusan untuk menutup aurat.
Walaupun tidak spesifik menyebut bahawa hantaran itu adalah kisah dirinya kerana menggunakan kata ganti diri ketiga iaitu ‘dia’, ramai pengguna Threads yang tersentuh dengan perkongsian terbabit.
“‘Alaa skirt pendek je pun. Semua orang pakai’. ‘Menari sikit je, bukan dosa besar pun’. ‘Yang penting dapat followers, dapat job, dapat duit’.
“Ayat-ayat itu dia ulang sampai hati dia mati rasa. Sampai dia percaya… dosa itu cuma content (kandungan di media sosial).
“Dulu bila orang pandang, dia rasa disayangi, tapi lepas dia tutup aurat, pandangan sama berubah macam dia buat salah,” tulisnya.
Kata bekas anggota kumpulan Dolla itu, sindiran masyarakat dan hilang sokongan bukanlah perkara baharu, namun tidak membuatkannya berhenti.
“Yang dulu panggil dia ‘queen’, sekarang sindir dia ustazah TikTok. Yang dulu sokong? Sekarang senyap.
“Macam hijrah dia hanya layak diraikan, kalau dia masih cantik ikut standard orang.
“Sampai satu hari, Allah buat dia rasa hilang dan dalam kehilangan itu, dia jumpa diri dia semula,” tulisnya.
Syasya yang memadam satu persatu video dan gambar lama yang menampakkan auratnya sentiasa berdoa agar jalan pilihannya diredai Allah SWT.
“Satu-satu video dan gambar lama dipadam. Bukan sebab malu orang tengok, tapi sebab malu Allah tengok.
“Dan sejak hari tu, doa dia cuma satu, ‘Ya Allah… jangan kembalikan aku kepada versi yang manusia sayang, tapi Kau tak reda’,” tulisnya.
Rata-rata pengguna Threads khususnya pengikut memberikan kata-kata semangat kepada Syasya agar terus istiqomah.
Sebelum ini, Syasya membuat pengumuman mengejut untuk mengundur diri daripada kumpulan Dolla secara rasmi pada 8 April 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




