sukan@gmail.com.my
Kuala Lumpur: Penembak kebangsaan, Nurul Syasya Nadiah Ariffin ingin menjadikan kejohanan di Eropah sebagai pentas terbaik membina persiapan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September nanti.
Jelasnya, untuk beraksi di pentas tertinggi Asia itu, dia perlu menunjukkan prestasi terbaik agar terpilih untuk beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol.
Justeru, dengan adanya persaingan kompetitif, ia akan membantu setiap atlet meningkatkan keyakinan serta mencari formula terbaik untuk melakukan bidikan tepat.
“Pemilihan ke Sukan Asia bergantung kepada prestasi antarabangsa kami tahun ini. Kami akan memberi tumpuan kepada kejohanan di Eropah sebagai penanda aras.
“Saya perlukan pendedahan di luar negara untuk menilai tahap saya. Saya merancang untuk beraksi di Munich, Jerman, dan Zermatt, Switzerland, pada Mei ini,” katanya.
Selain itu, Syasya juga ingin beraksi di memastikan pencapaian di Sukan Asia 2026 lebih baik agar dirinya boleh meneruskan perjuangan dalam kejohanan akan datang.
“Jika saya memberikan persembahan terbaik di Sukan Asia, saya juga berpeluang dipilih ke Kejohanan Dunia di Doha pada November,” katanya.
Untuk makluman, atlet kelahiran Johor itu pernah beraksi di Sukan Asia pada edisi lalu, namun pencapaiannya kurang memuaskan apabila gagal melayakkan diri ke final.
Dalam acara individu, dia berada di kedudukan ke-27, sementara dalam acara berpasukan di tempat kesembilan. Hanya lapan peserta teratas sahaja akan beraksi di pusingan akhir.
“Kalau saya terpilih, ini akan jadi Sukan Asia kedua saya.
“Kali pertama dulu agak mengecewakan kerana saya gementar, tetapi pengalaman itu membantu saya mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
“Moto saya tahun ini ialah belajar, menyesuaikan diri dan membalas kekecewaan lalu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




