SYDNEY: Dua hospital utama di barat Sydney mendirikan khemah kecemasan untuk menampung keperluan pesakit selepas bandar ini bergelut mengekang penularan Covid-19.
Sydney yang merupakan bandar terbesar di Australia terus merekodkan peningkatan kes biarpun sudah dua bulan menjalani perintah berkurung.
Sebanyak 1,029 kes direkodkan hari ini, iaitu kes harian tertinggi dengan hampir 9,000 kematian dalam tempoh dua minggu lalu.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Barat Sydney memberitahu Reuters, khemah lapangan itu dapat membantu kesesakan dalam hospital berikutan pertambahan jumlah kemasukan pesakit akibat Covid-19.
Dua hospital tersebut iaitu Westmead dan Blacktown kini menghadapi lambakan pesakit Covid-19.
Menerusi video yang dimuat naik dalam Twitter, Persatuan Paramedik Australia (APA) memaklumkan, anggota paramedik diberi pilihan untuk menunggu bersama pesakit Covid-19 di dalam ambulans atau di luar dalam keadaan sejuk selepas hospital sesak.
Selain Sydney, Melbourne dan Canberra turut menjalani perintah berkurung berikutan peningkatan kes jangkitan.
Sehingga kini, 32 peratus daripada penduduk berusia 16 tahun ke atas sudah menerima vaksinasi lengkap dan lebih 54 peratus menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19. – REUTERS