am@hmetro.com.my
Kluang: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda Umno Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.
Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Dun Mahkota, Azurawati Wahid selepas penjumlahan undi daripada 20 pusat mengundi membabitkan 109 saluran selesai di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.
BN juga menang bergaya apabila majoriti undi diperoleh pada PRK ini meningkat empat kali ganda berbanding majoriti yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 iaitu 5,166 undi.
Berdasarkan keputusan itu, BN menang di kesemua 20 pusat daerah mengundi (PDM).
Kiraan turut membabitkan undi awal yang berlangsung Selasa lalu membabitkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, serta polis.
Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September lalu dengan peratusan keluar mengundi bagi PRK ini adalah 53.84 peratus, berbanding 57.34 peratus pada PRN lalu.
PRK Dun Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah yang mewakili BN sebelum ini memenangi kerusi berkenaan menerusi saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Ini adalah PRK keempat tahun ini, selepas PRK Dun Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK Dun Sungai Bakap, Pulau Pinang dan PRK Dun Nenggiri di Kelantan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




