Syed Kamarulzaman dilantik Pengerusi MAIWP

Syed Kamarulzaman dilantik Pengerusi MAIWP

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia (PFSM), Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berkuat kuasa hari ini.

Menurut kenyataan MAIWP, pelantikan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Semoga pelantikan ini akan dapat memastikan MAIWP terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna buat seluruh umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menurut MAIWP, Syed Kamarulzaman merupakan tokoh dan intelektual Islam berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi selain memikul amanah sebagai panel pemikir dan penasihat kepada beberapa organisasi antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau juga merupakan penerima Anugerah Maulidur Rasul 2023 atas jasa dan bakti dalam membangunkan bidang astronomi Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette

Scroll to Top