TOKOH korporat dan dermawan paling berpengaruh, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary muncul sebagai pemegang saham utama menerusi kepentingan tidak langsung dalam Eco World Development Group (EcoWorld).
Syarikat hartanah ternama itu dalam kenyataannya berkata, penstrukturan terbaharu itu susulan pemindahan semua saham milik Datuk Leong Kok Wah dalam Syabas Tropikal Sdn Bhd.
Susulan transaksi itu, Kok Wah tidak lagi menjadi pemegang saham utama dan penstrukturan semula itu melibatkan pemindahan keseluruhan pegangan Kok Wah dalam Syabas Tropikal kepada Syed Mokhtar.
Syabas Tropikal memiliki sepenuhnya Sinarmas Harta Sdn Bhd, yang memegang 969.9 juta saham EcoWorld, bersamaan kira-kira 30.1 peratus daripada modal saham terbitan EcoWorld.
Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Liew Kee Sin mengalu-alukan Syed Mokhtar sebagai pemegang saham utama baharu EcoWorld Dan merakamkan penghargaan kepada Kok Wah atas sokongan berterusan sepanjang 13 tahun lalu.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengannya untuk membawa EcoWorld ke tahap yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
EcoWorld kini memiliki kira-kira 4,770 hektar simpanan tanah di Lembah Klang, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM100 bilion.
Syarikat itu mempunyai lima teras pendapatan utama yang bersaiz besar dan pelbagai, iaitu Eco Townships, Eco Rise, Eco Hubs, Eco Business Parks dan Quantum membolehkannya memenuhi semua segmen pasaran hartanah.
Melalui projek yang dilaksanakan oleh EWI Capital dari 2015 hingga 2025, jenama EcoWorld turut meluaskan kehadirannya ke United Kingdom dan Australia.



