Syed Saddiq 'minta petua' kahwin daripada Tun M dan isteri

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengambil pendekatan tersendiri dengan menyampaikan undangan perkahwinannya bersama tunangnya, Bella Astillah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Syed Saddiq, 34, berkongsi perkara itu menerusi hantarannya di Threads, dengan menyifatkan pasangan berkenaan antara tetamu istimewa untuk hari bahagianya itu.

“Hantar sendiri kad kahwin kepada Tun M dan Tun Hasmah, ‘special guests’ paling senior dalam senarai, tapi masih pasangan paling muda di hati,” tulisnya dengan emoji hati yang berwarna merah.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq turut meluahkan keterujaannya untuk memulakan langkah baharu menjejakkan kaki ke alam perkahwinan, sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai satu platform terbaik untuk menimba ilmu rumah tangga daripada pasangan berpengalaman itu.

“Nak masuk alam perkahwinan, mestilah kena ‘minta petua’ daripada pasangan paling berpengalaman di Malaysia,” tulisnya lagi.

Dalam hantaran itu, dilihat Syed Saddiq sedang berbual-bual bersama Tun M dan Siti Hasmah sambil mengenakan baju melayu berwarna ungu gelap serta bersongkok.

Hantaran itu turut mencuri perhatian warga maya di platform media sosial terbabit yang mendoakan kesejahteraan serta kelancaran majlis perkahwinan Syed Saddiq bersama tunangnya, Bella Astillah.

“Semoga segala urusan perkahwinan YB dan Bella berjalan dengan lancar,” tulis warga maya.

“Moga semua lancar dan dipermudah, YB,” tulis netizen.

Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella, 32, mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan di aras 118, Menara Merdeka Maybank di sini, pada 10 Oktober depan.

Syed Saddiq dan Bella yang mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, turut mengumumkan hari bahagia mereka mengangkat konsep serba putih yang disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.

Lebih istimewa, Syed Saddiq dan Bella merancang menganjurkan majlis persandingan dalam bulan sama, selain bakal mengadakan beberapa majlis lain di sini, Muar dan Sabah.

Tambahnya, pemilihan lokasi itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana majlis mereka bakal menjadi antara acara pernikahan pertama yang dianjurkan di tingkat 118 bangunan berkenaan.

Syed Saddiq dan Bella dilapor mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top