Kuala Lumpur: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak tawaran untuk kembali sebagai Presiden MUDA berikutan pembebasannya daripada pertuduhan rasuah.
FMT melaporkan Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan mengenai jawatan itu.
“Saya telah memaklumkan kepada kepimpinan parti bahawa saya perlukan sedikit lagi masa. Saya mahu meluangkan masa bersama keluarga, fokus pada kerja di kawasan saya di Muar, dan meneruskan kutipan dana untuk keperluan tempatan.
“Saya sudah menyampaikan keputusan saya kepada kepimpinan parti, dan saya akan biarkan ia begitu sahaja,” katanya seperti dipetik portal berita itu.
Pada 26 Jun lalu, pemangku presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz, menawarkan semula jawatan presiden parti itu kepada Syed Saddiq.
Syed Saddiq, mengosongkan jawatannya semasa perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya.
Beliau dibebaskan daripada empat pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah, penyelewengan dana parti, dan pengubahan wang haram.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu, sekali gus mengetepikan sabitan salah, hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta, dan dua sebatan rotan terhadapnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd