firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mempertahankan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail dengan menegaskan baginda tidak sepatutnya dikaitkan dengan isu tujuh pemain skuad negara yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Syed Yazid, sebarang dakwaan yang cuba mengaitkan Tunku Ismail dengan isu berkenaan adalah tidak berasas kerana perkara itu membabitkan proses serta keputusan badan induk bola sepak dunia.
Beliau berkata, keputusan penggantungan pemain terbabit adalah di bawah bidang kuasa FIFA dan tidak wajar mana-mana pihak meletakkan kesalahan itu kepada individu tertentu, termasuk pemilik kelab.
“Pada pandangan saya, Tunku Ismail tidak patut dipersalahkan dalam perkara ini.
“Keputusan penggantungan itu dibuat oleh FIFA dan ia membabitkan peraturan serta prosedur mereka sendiri,” katanya kepada Arena Metro.
Pada masa sama, Tunku Ismail sebelum ini turut menafikan sebarang penglibatan dalam isu berkenaan dan mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya membawa perkara itu ke mahkamah.
Pemilik JDT itu menegaskan beliau bersedia berhadapan dengan mana-mana pihak, termasuk penyokong bola sepak tempatan untuk berdebat secara terbuka sekiranya ada yang masih mempertikaikan perkara berkenaan.
Syed Yazid turut menegaskan Tunku Ismail banyak menyumbang kepada pembangunan bola sepak tempatan, khususnya menerusi kemajuan yang ditunjukkan JDT sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, usaha yang dilakukan oleh Tunku Ismail dalam memodenkan pengurusan kelab serta meningkatkan standard profesionalisme bola sepak negara seharusnya dihargai dan bukannya dipersoalkan.
“Banyak perkara positif yang dibawa oleh Tunku Ismail kepada bola sepak Malaysia.
“Jadi, tidak adil untuk mengaitkan baginda dengan isu yang sebenarnya berada di luar kawalan beliau,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan tujuh pemain negara untuk mengenepi penggantungan 12 bulan yang dikenakan FIFA pada September lalu.
Susulan itu, timbul perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial yang cuba mengaitkan pemilik JDT itu dengan isu tujuh pemain negara yang didapati bersalah atas tuduhan memalsukan dokumen kelahiran bagi menyarung jersi negara di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




