mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang dihimpit pelbagai isu wajar diserahkan kepada syarikat atau agensi berwibawa seperti UDA Holdings Berhad (UDA) bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan itu disampaikan kepada persatuan penduduk kawasan berkenaan untuk memastikan projek dapat diteruskan.
“Saya mengemukakan penyelesaian itu dan kalau persatuan penduduk berasa pemaju tidak boleh dipercayai, mereka perlu berjumpa untuk meminta projek ini diserahkan kepada UDA,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, cadangan itu tidak semestinya hanya tertumpu kepada UDA, sebaliknya boleh diusulkan kepada mana-mana syarikat pemaju yang diyakini boleh mengambil alih dan meneruskan projek.
“Kalau bukan UDA, cuba Sime Darby Properties, Tabung Haji Properties atau mana-mana agensi yang diyakini. Bila itu berlaku (penukaran pemaju), baru orang percaya projek ini akan siap,” katanya.
Mengimbas pengalaman bersama UDA dalam projek pembangunan bercampur projek Legasi Kampong Bharu, Johari berkata, pembangunan itu berjaya berbanding percubaan lain sebelumnya.
“Ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, cuba selama 22 tahun untuk membangunkan kawasan pasar minggu itu, tetapi tidak berjaya.
“Kemudian Perdana Menteri seterusnya, (Allahyarham) Tun Abdullah Ahmad Badawi buat majlis pecah tanah, juga tidak ke mana manakala Datuk Seri Najib Razak juga pernah mencuba.
“Namun apabila UDA diberi kepercayaan, projek berjaya direalisasikan dan penduduk sangat yakin kerana projek itu berjaya disiapkan. Mereka (UDA) ada rekod pencapaian yang baik dan hubungan dengan kerajaan, jadi orang percaya.
“Awal dulu apabila saya nyatakan mahu membangunkan (Kampung Baru) itu dan ini, masyarakat bimbang sama ada boleh siap atau tidak,” katanya.
Bagaimanapun, Johari memberi amaran syarikat yang mahu mengambil alih projek berkenaan perlu mempunyai kewangan kukuh.
“Banyak pemaju swasta tidak mempunyai kewangan yang kukuh. Mereka hanya sebagai ‘front’ (proksi). Itu bahaya. Kalau projek gagal, apa kita boleh buat? Berapa banyak projek terbengkalai dalam industri pembangunan hartanah?
“Ketika saya melaksanakan projek Legasi Kampong Bharu, saya memastikan pemaju dan kontraktornya benar-benar berpengalaman serta mempunyai kewangan kukuh.
“Kalau projek itu gagal disiapkan, orang Melayu di Kampung Baru akan hilang keyakinan untuk membenarkan pembangunan tanah milik mereka,” katanya.
Beliau turut mendedahkan sudah membincangkan perkara itu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
“Beliau faham isu ini dan sangat prihatin. Saya katakan, mengapa tidak minta pemaju projek tarik diri supaya UDA boleh ambil alih? Bila itu berlaku, orang akan sabar dan hentikan bantahan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pemaju berkenaan menuntut pampasan yang besar untuk menarik diri daripada projek.
“Mereka minta antara RM160 juta hingga RM170 juta untuk menyerahkan projek itu kepada UDA, sedangkan mereka belum bina apa-apa pun. Tapak belum bersih, bangunan belum dirobohkan tetapi mereka minta wang, Macam mana UDA nak tanggung kos itu?
“Kalau Kampung Sungai Baru diserahkan kepada UDA, mereka mampu melaksanakannya, tetapi kalau UDA diminta bayar RM160 juta atau RM170 juta atas kesilapan pemaju yang gagal merancang dengan betul, saya rasa UDA mungkin tak sanggup ambil alih,” katanya.
Johari menyatakan keterbukaannya berbincang terus dengan syarikat pemaju mengenai projek terbabit.
Projek pembangunan Kampung Sungai Baru perlu disegerakan
Isu Kampung Sungai Baru perlu jadi ikhtibar
© New Straits Times Press (M) Bhd