bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor akan melaksanakan program ‘outreach’ bagi pemberian vaksin khusus kepada individu yang tidak berupaya mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya sudah memaklumkan cadangan itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan kini menunggu kebenaran secara rasmi untuk pelaksanaan program terbabit.
“Program seperti ini adalah khusus untuk individu yang terlantar sakit serta tidak berupaya mendapatkan vaksin di PPV.
“Kita juga turut mencadangkan pada KKM untuk meneruskan program imunisasi ini di Klinik Kesihatan (KK) untuk diberikan kepada pesakit kronik dan pihaknya mensasarkan semua KK boleh melakukan program imunasi terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPV AstraZeneca di Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sha’ari menasihatkan individu yang sudah berdaftar untuk mendapatkan vaksin supaya hadir pada tarikh yang ditetapkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang tidak mendaftar supaya tidak mencuba untuk menunggu atau ‘walk in’ bagi mendapat suntikan vaksin kerana mereka hanya akan menambahkan kesesakan di PPV.
“Pada yang sudah mendaftar, sila hadirkan diri manakala pada yang belum berdaftar, saya nasihatkan tidak datang secara walk in kerana sekiranya ada kekosongan (untuk suntikan vaksin) petugas PPV akan memanggil individu yang berada dalam ‘waiting list’,” katanya.
Dr Sha’ari berkata, kira-kira 3,000 individu akan menerima vaksin AstraZeneca setiap hari di PPV berkenaan.
“Secara keseluruhan, 40,000 dos AstraZeneca disediakan untuk PPV di IDCC Shah Alam dan pada mereka yang sudah mendaftar jangan bazirkan peluang yang diberikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




