harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah jabatan kerajaan ditahan hari ini, disyaki secara salah mengesyorkan syarikat milik suaminya bagi kontrak pembekalan makanan untuk sebuah program di Pulau Pinang.
Menurut sumber, suspek berusia 50-an itu disyaki menyalahgunakan kuasa ketika berkhidmat sebagai salah seorang pegawai di sebuah daerah di Pulau Pinang pada tahun 2017.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek sebelum ini dipercayai menyalahgunakan jawatan ketika berkhidmat sebagai pegawai di Seberang Prai Utara, apabila mengesyorkan syarikat milik suaminya bagi pembekalan makan serta minum bernilai hampir RM4,000,” katanya hari ini.
Sumber berkata, suspek terbabit ditahan ketika hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada 11 pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang pada lusa (Khamis),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




