am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suka, duka, menangis dan ketawa lumrah kehidupan. Sebagai manusia biasa, tiada siapa terlepas daripada berhadapan ujian hidup sama ada kecil mahupun besar, senang atau rumit.
Hidup yang umpama roda ini sukar untuk dijangka. Namun, di sebalik ujian dihadapi, pastinya ‘peluang kedua’ diharapkan terutama selepas diuji dengan tragedi menimpa diri seperti kemalangan atau penyakit kronik yang mengancam nyawa.
Bagaimanapun, tidak semua orang mendapat peluang kedua. Hanya mereka yang terpilih saja dapat merasainya umpama pepatah, berpantang maut sebelum ajal. Justeru, semestinya rasa syukur saja mampu diucapkan atas peluang hidup kedua itu.
Ikuti perkongsian kisah anak seni seperti komposer Saari Amri, 57, dan penyanyi, Zaiton Sameon, 67, yang terselamat dalam tragedi kemalangan ngeri dialami pada 1990-an, serta penyanyi Fazli Zainal, 46; Khalis Shari, 35, dan pelakon Shahriza Mahmud, 58, yang kembali pulih dari sakit.
‘Mati hidup semula’ – Saari Amri
“Apa yang saya boleh kata mengenai kemalangan motosikal dialami pada November 1996 itu, banyak iktibar dan peringatan yang Allah berikan kepada saya. Malah, saya sangat bersyukur dengan kemalangan itu.
“Selepas ditimpa ujian kemalangan itu, barulah saya belajar dan faham, siapa yang akan betul-betul jadi kawan kita. Bermuhasabah diri dengan kehidupan dan perancangan Allah itu sangat baik.
“Sejujurnya, diri saya ini umpama ‘mati hidup semula’. Sebabnya, akibat kemalangan itu, doktor kata saya sudah meninggal dunia kerana darah dalam badan ketika itu sudah beku. Jadi, memang tiada harapan hidup.
“Tapi, takdir Allah untuk saya sangat cantik apabila saya mendapat darah yang didermakan sekumpulan anggota tentera. Maka, saya masih ‘bernyawa’ hingga kini dengan darah baru yang didermakan itu,” katanya.
Menurut Saari, perwatakan dirinya yang dulu seorang pendiam dan pemalu, diakui berubah sepenuhnya menjadi sangat peramah, mesra, selamba dan ‘cakap lepas’ kepada orang yang kurang beradab.
“Apapun, saya bersyukur Allah masih berikan bakat mencipta lagu kepada saya, keluarga bahagia dan kehidupan yang tenang. Selain itu, Allah juga beri saya peluang membantu merawat pesakit diabetes untuk menyumbang semula kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, buat masa ini saya ada kira-kira 1,000 koleksi lagu yang sudah siap dicipta dan lebih 600 lagu sudah dirakam dan dipasarkan. Jadi, nikmat apa lagi yang tidak perlu saya mensyukurinya?” katanya.
Menurutnya, dia juga tidak kisah apabila masih berhadapan dengan tanggapan segelintir masyarakat yang mendakwa dirinya mengalami masalah mental akibat kemalangan itu.
‘Dah hidup tenang’ – Zaiton Sameon
“Saya tidak pernah melupakan peristiwa kemalangan itu. Pada 21 Februari ini, genap 34 tahun. Alhamdulillah, saya sudah reda dan kini hanya meneruskan kehidupan dengan gembira saja.
“Saya bersyukur pada usia yang semakin meningkat ini, Allah kurniakan saya kegembiraan dan ketenangan hidup bersama anak angkat, Ika (Che Sikah Ismail) dan keluarganya untuk menumpang kasih.
“Semua yang berlaku itu (kemalangan) sudah berlalu dan menjadi takdir hidup saya. Walaupun macam-macam orang cakap mengenai keadaan saya, biarlah mereka. Saya terima saja semuanya.
“Apapun, saya sendiri tahu ingatan saya dalam keadaan baik kerana masih lagi boleh menyanyi. Allah juga berikan rezeki saya dalam nyanyian dan syukur kepada-Nya. Doakan saya terus sihat,” katanya.
Zaiton terbabit dalam kemalangan di Batang Kali, Selangor pada 21 Februari 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.
Kemalangan yang berlaku pada awal pagi itu membabitkan van dinaiki Zaiton dan anaknya dilanggar oleh lori yang mengakibatkan dia parah di kepala.
Pada 14 November 2022, Zaiton menerima kad orang kelainan upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.
‘Nyawa tiada ganti’ – Fazli Zainal
“Tiada apa yang dikesalkan pun apabila saya diuji Allah dengan Covid-19 pada 2021, namun saya amat bersyukur apabila diberikan kesihatan semula.
“Walaupun tidak 100 peratus sihat macam dulu, sekurang-kurangnya saya masih diberi peluang oleh Allah untuk bernafas lagi dan Alhamdulillah, sekarang sudah lebih dua tahun saya menjalani kehidupan ‘baru’ selepas sembuh daripada Covid-19.
“Selama 29 hari saya dirawat di hospital akibat Covid-19 dan boleh dikatakan nyawa saya ketika itu pun sudah di hujung tanduk, tapi syukur sangat apabila ramai yang mendoakan saya agar sihat semula. Saya sendiri tak putus-putus berdoa kepada Allah, berikanlah saya nyawa.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Cuma, bila mengingatinya semula, ia sebenarnya adalah ujian kecil yang Allah beri kepada saya untuk terus berdoa dan bersabar. Malah, saya juga melihatnya sebagai tanda kasih sayang Allah.
“Lumrah kehidupan kita, manusia akan diuji oleh Allah dengan ujian yang berbeza-beza. Tapi, apapun saya bersyukur kini semakin sihat kerana nyawa tiada ganti. Bayangkan kalau sudah ditarik nyawa, kaya macam mana pun tak boleh beli,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Harapan ini, nyawa dan kesihatan baginya adalah nikmat yang paling berharga dan tidak ternilai daripada Allah. Jadi, untuk itu kena selalu bersyukur dan berdoa agar kita sentiasa dilindungi.
Sebelum itu, Fazli dimasukkan ke Hospital Ampang akibat dijangkiti Covid-19 pada 31 Julai 2021 dengan paras oksigennya tidak menentu dan boleh menurun hingga 55 peratus dalam masa seminit.
Pada 5 November 2021, Fazli juga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Shah Alam apabila tekanan darahnya naik mendadak kerana tekanan kerja.
‘Saraf masih sakit’ – Shahriza Mahmud
“Dah genap tiga tahun saya semakin pulih selepas dijangkiti kencing tikus pada 1 Januari 2021, di mana saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya selama seminggu.
“Sekarang, Alhamdulillah keadaan kesihatan saya beransur pulih apabila sudah boleh berjalan menggunakan tongkat. Tapi, saraf bahagian kiri dari kaki hingga pinggang masih sakit-sakit lagi.
“Kalau sebelum ini saya pernah terlantar di katil tidak boleh bergerak selama setahun dan kemudiannya, bergantung pada kerusi roda jika mahu bergerak ke mana-mana.
“Namun, berkat diri saya sentiasa kuatkan hati dan yakin mesti boleh berjalan lagi untuk mudahkan bekerja mencari rezeki, syukur kepada Allah, saya kini dah boleh berjalan guna tongkat walaupun jarak dekat dari katil untuk ke bilik air,” katanya.
Menurut pelakon drama Pendekar dan #Antidot ini, dia nekad selalu positifkan diri untuk boleh berjalan semula agar dapat pergi berniaga dengan suaminya, Saddiq Raffali, bagi mencari rezeki menampung kehidupan mereka.
“Saya ada mendapat tawaran berlakon, tapi kena tolak sebab watak itu tak nak guna kerusi roda atau tongkat. Jadi, tak mengapalah dan untuk terus cari rezeki saya bersama suami berniaga di ekspo dan bazar jualan selain di TikTok, Facebook dan Instagram.
“Tapi, apabila berhadapan ujian kesihatan ini saya sedar kena kuat mental dan fizikal. Diri sendiri perlu ada semangat untuk bangkit dan berusaha. Tak boleh layankan sangat sakit itu, sebab kita kena kerja cari rezeki untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Menurut Shahriza, dia bersyukur apabila masih dapat peluang meneruskan hidup yang disifatkannya tidak boleh cepat patah semangat, asyik bersedih dan enggan berusaha melakukan apa-apa.
‘Syukur makin pulih’ – Khalis Shari
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah apabila sakit saraf dan diabetes (kencing manis) yang saya hidapi sebelum ini semakin pulih, sekali gus tahap kesihatan juga kian membaik.
“Saya pun sekarang bolehlah menyanyi dalam tiga ke empat lagu untuk satu persembahan. Syukur juga apabila dah mula dapat tawaran menyanyi untuk mencari pendapatan bagi menyara keluarga.
“Cuma, masalah kaki ini yang masih memerlukan saya menggunakan tongkat untuk bergerak. Alhamdulillah, isteri, Zalina Azman juga menjaga saya dengan baik terutama dalam pemakanan harian, termasuk sokongan moral daripada keluarga dan rakan yang banyak membantu.
“Apapun, Allah yang masih memberikan saya peluang untuk sihat semula selepas diuji dengan sakit teruk kira-kira tiga tahun lalu. Sekarang sakit saraf dan diabetes saya agak terkawal, tetapi suntikan insulin tetap kena ambil setiap hari,” katanya.
Khalis, 35, yang juga vokalis kumpulan The Real Spin dan bapa kepada tujuh anak berkata, dia turut gembira sudah dapat merakamkan single baru, Di Pintu Syurga pada tahun lalu sebagai buah tangan untuk kemunculan semula.
Terdahulu, Khalis pernah tular di media sosial apabila foto dan videonya yang kelihatan pucat serta bertubuh kurus didukung seseorang masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital pada April 2021 lalu dan dia juga difahamkan koma selama dua hari.
Tidak hanya itu, adik kepada Allahyarham Achik Spin dan abang penyanyi Tajul ini juga dikatakan mengalami penyakit ‘misteri’ yang menyebabkan keadaan kesihatannya jadi memburuk.
Apapun, Khalis yang dikenali dengan lagu Selalu Rindu berkata, kini dia memang bersedia menerima tawaran menyanyi dan sesiapa yang ingin mendapatkan khidmatnya boleh menghubungi isterinya atau syarikat rakaman MVM Music.
© New Straits Times Press (M) Bhd




