'Syukur dapat tak lebih awal' – Zara Zya

'Syukur dapat tak lebih awal' – Zara Zya

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Keadaan kesihatan saya okay cuma saya berasa kudrat (tubuh badan) tidak sekuat macam dulu,” kata pelakon Zara Zya, 40, ketika ditanya perkembangan kesihatannya selepas disahkan menghidap renal cell carcinoma atau kanser buah pinggang pada tahap satu.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, buat masa ini, dia hanya makan ubat dan melakukan fisioterapi serta buat rutin pemeriksaan di hospital.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat tahu perkara itu lebih awal. Buah pinggang saya pun hanya dibuang sebahagian saja.

“Saya menjalani pembedahan itu pada tahun lalu dan diminta berehat selama lapan bulan.

“Saya juga terima berita itu dengan hati yang tenang dan berlapang dada serta kekal positif dengan ujian dari Allah SWT itu,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, kata pelakon drama Sumpah Ibuku di TV3 itu, dia sudah kembali ke lokasi penggambaran drama ketika ini.

“Saya sudah kembali bekerja seperti biasa. Tapi tidak boleh aktif sangat macam dulu. Kalau rasa sakit, saya akan makan ubat mengikut arahan doktor,” katanya.

Terdahulu, menerusi perkongsian di platform Threads, Zara memberitahu dirinya menghidap kanser buah pinggang tahap satu sekali gus mengingatkan orang ramai agar tidak mengabaikan isyarat yang diberikan oleh tubuh badan.

Perkongsian Zara itu mendapat perhatian warganet yang turut sama mendoakan agar pelakon itu diberikan kesembuhan serta kekuatan untuk terus berjuang melawan penyakit terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top