am@hmetro.com.my
Baling: “Syukur, akhirnya kami dapat masuk ke rumah baharu dan dapat sambut Ramadan dengan selesa tahun ini (2026),” kata Che Nai Isa, 62, seorang daripada 17 mangsa banjir puing Kampung Iboi pada 4 Julai 2022.
Mereka yang mewakili keluarga masing-masing menerima kunci rumah baharu bagi projek perumahan fasa kedua di Kampung Bok Bak, Kupang, hari ini.
Che Nai yang berkongsi kegembiraan itu bersama isterinya, Che Hasnah Ismail, 61, berkata, mereka tidak sabar untuk menghuni kediaman itu selepas lama menanti ia siap.
“Sebelum ini, bila lalu kawasan perumahan ini, hati tak sabar tunggu ia siap. Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana bantu bina rumah baharu untuk kami. Jika harapkan kami (buat sendiri) memang tak mampu,” katanya.
Mengimbas kembali tragedi tiga tahun lalu, Che Nai berkata, banjir melanda dengan pantas membuatkan dia dan isteri terpisah serta dihanyutkan arus.
“Saya sempat berpaut pada pokok buluh, manakala isteri dihanyutkan ke arah bertentangan dan berpaut pada pokok pinang.
“Mujur kami berdua berjaya diselamatkan. Anak perempuan saya, seorang OKU, ketika itu berada seorang diri di dalam rumah dan diselamatkan oleh anggota keluarga,” katanya memaklumkan kesan banjir itu membuatkan dapur dan dinding rumahnya runtuh.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Siti Hajar Said, 37, berkata rumah baharu itu akan menjadi penginapan selamat untuk dia, suami dan tiga anak mereka.
“Rumah lama kami di Kampung Padang Empang memang tidak selamat diduduki. Anak-anak masih trauma dengan tragedi itu. Hari ini bila terima kunci, rasa terharu dan gembira,” katanya merancang untuk bawa masuk barang pada hujung minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




