redzuan.muharam@hmetro.com.my
Klang: “Syukur, teruja dan tak sangka kerana akhirnya saya dapat juga sambung belajar macam rakan lain.
“Terima kasih Majlis Amanah Rakyat (MARA) kerana prihatin dan beri peluang untuk saya bina hidup baru demi masa depan,” kata Siti Nur Aliah Ah Yauddin ketika berkongsi kisahnya menerima tawaran menyambung pengajian dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA Klang, Selangor.
Siti Nur Aliah, 21, menerima tawaran itu ketika kunjungan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang datang ke rumahnya di Pangsapuri Meru Ehsan, Persiaran Hamzah Alang, dekat sini baru-baru ini.
Kedatangan Asyraf itu juga bertujuan menziarahi ibu Siti Nur Aliah, Roslina Yusof, 57, yang tidak dapat bergerak kerana angin ahmar selain kudung kaki kiri akibat diabetes dan bapanya, Ah Yauddin Ahmad, 63.
Menurut Siti Nur Aliah, dia akan ke GiatMARA Klang untuk pendaftaran sebagai penuntut pada Isnin ini namun belum dapat maklumat bila sesi pengajiannya akan bermula.
Biarpun menerima khabar gembira, Siti Nur Aliah mengakui berat hati menerima tawaran berkenaan pada awalnya kerana memikirkan bapanya akan sendirian di rumah untuk menjaga ibunya ketika dia menghadiri kuliah.
“Tapi bila fikirkan semula masa depan, saya terima… itu pun selepas minta restu ayah.
“Saya anggap tawaran itu sebagai peluang berharga dan rezeki kerana pengajian ditanggung sepenuhnya oleh MARA.
“Mungkin sudah sampai masanya saya sambung belajar dan berharap ilmu yang ada nanti dapat membantu saya mengubah nasib keluarga. Tawaran yang datang itu pun sebenarnya buka mata saya mengenai pentingnya pendidikan walau susah macam mana pun,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menerusi hantaran dimuat naik Asyraf di Instagram (IG), Asyraf memaklumkan MARA akan membantu Siti Nur Aliah untuk menjadi usahawan dengan mendapatkan Geran Perniagaan di bawah Kementerian Desa Dan Wilayah berupa mesin dan peralatan membuat roti dan kek bernilai RM6,000.
Selain itu MARA juga akan membantu menawarkan kursus jangka pendek untuk mempersiapkan Siti Nur Aliah sebagai usahawan digital yang mampu memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok untuk berniaga.
Sementara itu, Ah Yauddin berkata, sebagai bapa, dia bersyukur dan terharu dengan kesudian MARA memberi tawaran serta menanggung pengajian anak tunggalnya.
“Mulanya berat hati juga nak lepaskan Aliah (nama panggilan) pergi belajar kerana kami tak pernah berpisah, ke mana pergi pun akan bawa dia dan isteri bersama.
“Saya pun tak sihat dan Aliah yang banyak tolong selama ini tapi dia pun berhak sambung belajar kerana masih muda.
“Mudah-mudahan, Aliah akan belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dengan kelulusan yang dia ada nanti.Sebagai bapa, saya akan sokong dan sanggup hantar dia ke kampus walaupun perlu ulang alik dari rumah,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Siti Nur Aliah yang sanggup melupakan impian menyambung pengajian ke menara gading demi membantu bapanya, Ah Yauddin menjual air balang di pasar malam dekat Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada setiap Sabtu.
Siti Nur Aliah lakukan pengorbanan itu demi membantu ibunya, Roslina yang kerusi roda untuk bergerak selain minum susu menerusi tiub pada hidung.
Lebih memilukan, bapanya turut menanggung derita akibat penyakit buah pinggang tahap lima, darah tinggi dan diabetes tapi cekal mencari rezeki buat keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd