Syukur! Geng Motor Besar derma RM60,000 bina pusat tahfiz

Kuala Pilah: Hasrat Pertubuhan Kebajikan Sahabat Tahfiz Kuala Pilah (PKSTKP) membina Kompleks Tahfiz Al Halimah, Kuala Pelangai Mukim Hulu Muar, di sini, bakal tercapai apabila pelbagai pihak memberikan sokongan.

Kompleks berkenaan dirancang dibina di atas tapak seluas kira-kira 0.9 hektar membabitkan satu blok sekolah, bilik darjah, koperasi sekolah, kuarters guru dan kemudahan lain termasuk dewan serta kawasan parkir kenderaan dengan kos berjumlah RM16 juta.

Penaung PKSTKP, Ustaz Abdul Karim Abd Razak berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan dana bagi menjayakan projek berkenaan yang disasarkan siap dalam tempoh lima tahun.

Katanya, pembinaan kompleks itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai generasi hafiz al-Quran demi untuk pembangunan syiar Islam pada masa hadapan.

“Kos keseluruhan pembinaan kompleks ini sekitar RM16 juta kerana ia mengandungi pelbagai kemudahan untuk pelajar dan guru.

“Setakat ini sokongan dan bantuan diterima daripada pelbagai pihak sangat memberangsangkan, namun masih jauh daripada sasaran dan kita berharap orang ramai tampil menghulurkan sumbangan.

“Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam atas nama Pertubuhan Kebajikan Sahabat Tahfiz Kuala Pilah 05030010110918,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sumbangan Dana di Tapak Pembinaan Kompleks Tahfiz Al Halimah, di Kuala Pelangai Mukim Hulu Muar, dekat sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop selain dihadiri Pengerusi NGO Kebajikan Sahabat Tahfiz Negeri Sembilan, Ustaz Karim Shahimi Abd Razak.

Pada majlis itu, PKSTKP menerima sumbangan RM60,000 daripada kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi “Fun Rider2Unite” 50 Seremban.

Dalam ucapannya, Mohamad mengalu-alukan usaha kumpulan penunggang motosikal melaksanakan aktiviti amal bagi mendapatkan dana untuk menjayakan projek berkenaan dan ia suatu usaha murni serta harus mendapat pujian.

Beliau juga turut mengingatkan penunggang agar menunggang dengan cermat.

“Pemanduan berhemah harus sentiasa menjadi amalan setiap pemandu bagi menjamin keselamatan diri dan orang lain. Saya mengucapkan tahniah kepada kumpulan permotoran ini kerana bersama-sama menyumbang dalam pembangunan pusat tahfiz,” katanya.