asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dermakan darah jarang jumpa yang dimiliki bagi menyelamatkan nyawa rakan sendiri.
Itulah kebetulan dialami anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kannan Panirsilvam, 44, yang juga pemilik darah jarang jumpa jenis Bombay (Positif).
Katanya, kawan karibnya itu mengalami kemalangan dan memerlukan pemindahan darah dengan segera.
“Namun disebabkan rakan saya itu juga memiliki darah jenis Bombay (Positif), dia hanya boleh menerima darah jenis berkenaan sahaja.
“Saya terkejut pada mulanya kerana tidak sangka selama ini dia juga memiliki darah jarang jumpa membabitkan jenis yang sama. Mujurlah ketika itu saya dalam keadaan sihat dan dapat mendermakan darah untuk kegunaan rawatannya,” katanya.
Mengimbau kembali bagaimana dia mengetahui mengenai darah jenis jarang jumpa dimiliki, Kannan berkata, semuanya bermula apabila dia menyertai kempen derma darah kira-kira setahun selepas menyertai badan beruniform itu.
Kannan berkata, dia agak terkejut ketika menerima surat pemakluman daripada Pusat Darah Negara (PDN) dan tidak dapat tidur dengan lena.
“Memang saya risau dan mula mencari sendiri maklumat-maklumat berkaitan jenis darah ini.
“Selepas mendapat kaunseling daripada pihak PDN, barulah saya lega dan sedar akan keistimewaannya. Perkara pertama yang saya lakukan selepas itu ialah mengemas kini maklumat dengan ketua jabatan dan bahagian berkaitan di tempat kerja bagi memudahkan urusan di kemudian hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



