georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon veteran Isma Alif, 61, bersyukur percakapannya sudah jelas walaupun kini berdepan kesukaran untuk bergerak akibat serangan angin ahmar hujung tahun 2023.
Isma berkata masih lagi merasa kebas pada bahagian kiri tubuh dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Ampang pada April nanti.
Selain perubatan moden, dia turut cuba rawatan alternatif seperti akupuntur.
Menurutnya, dia kini hanya bergantung kepada wang zakat bernilai RM400 untuk meneruskan kehidupan sehari-hari.
“Alhamdulillah ada juga bantuan wang zakat, walaupun tak banyak tapi sedikit sebanyak ringankan juga beban. Lagipun saya tinggal seorang, tak ada apa yang nak dikejarkan lagi.
“Kadang-kala ada juga rakan-rakan yang menghulur jadi dapatlah tampung sedikit sebanyak. Kalau ada lebih, saya gunakan untuk rawatan akupuntur tapi tak boleh pergi selalu kerana sekali pergi RM90.
“Mujur rumah yang saya diami sekarang dibeli sendiri, ada juga tempat berteduh biarpun kecil,” katanya ditemui di majlis berbuka puasa dan sumbangan daripada Insaf Malaysia dan Irama Entertainment di Insaf Malaysia, pada Isnin.
Isma mengakui sesekali dia masih menerima tawaran berlakon. Namun dia terpaksa menolak berikutan keadaan kesihatannya yang tak mengizinkan.
Dalam pada itu, dia yang menetap di Kampung Melayu Ampang berharap terus dikurniakan kesihatan terbaik selain di jenguk anak dan cucunya pada lebaran nanti.
“Saya hanya minta sihat dan berharap anak sulung bersama dua cucu dapat balik, itupun saya dah bersyukur sangat memandangkan kebanyakan masa saya hanya bersendirian di rumah sejak ketiadaan mak.
“Bagaimanapun saya bersyukur sudah boleh urus diri sendiri. Sebelum ini saya kena pakai lampin dan makan melalui tiub, tapi sekarang alhamdulillah dah tidak perlukan semua itu,” katanya.
Isma juga sebolehnya enggan menyusahkan adiknya untuk menjaga aktiviti harian kerana adiknya pun ada keluarga.
“Mana yang mampu buat sendiri setakat masak yang ringkas seperti mi segera atau goreng telur saya boleh buat sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




