najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tidak mengenali lelaki itu, tetapi apabila dihubungi pihak bomba yang memaklumkan ada individu ingin membunuh diri dan mahu bercakap, saya cuba memberikan kerjasama sebaik mungkin.”
Demikian kata pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro yang berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada cubaan membunuh diri di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, di sini, pagi, hari ini.
Ajak ketika dihubungi berkata, sebaik dimaklumkan perkara itu oleh pihak bomba dia bergegas ke lokasi kejadian sambil bercakap dengan individu itu sepanjang dalam perjalanan.
“Saya tak tahu kenapa dia mahu bercakap dengan saya. Tapi mungkin sebab dia tahu saya mempunyai perniagaan, jadi mungkin dia nak dibantu.
“Ketika pihak bomba hubungi, saya dapat bercakap dengan lelaki itu dari konti radio sehinggalah di dalam kereta sambil memandu ke tempat kejadian.
“Apabila saya tiba di tempat kejadian, saya nampak dia berada di hujung bangunan tingkat 11 sambil memegang senjata tajam kerana bimbang pihak berkuasa akan menahannya.
“Namun, saya maklumkan dia perlu menjauhkan senjata itu supaya saya boleh datang untuk berbincang dan memujuknya. Alhamdulillah dia berjaya mengawal kemarahan dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Menurut Ajak, tindakan pantas dan usaha menyelamatkan individu yang mahu membunuh diri bukanlah satu perkara yang wajar dibanggakan kerana enggan perkara sama dilakukan oleh pihak lain.
“Alhamdulillah sebenarnya saya tak terfikir akan buat benda ini (menyelamatkan nyawa orang tidak dikenali).
“Tapi saya bersyukur kerana dapat melakukan sesuatu, namun ini bukanlah perkara yang patut dibanggakan.
“Ini kerana, saya tidak mahu selepas ini ada orang lain yang akan buat perkara sama. Cuma saya rasa syukur kerana dapat tenangkan individu berkenaan yang mungkin stres dan tertekan dengan masalah peribadi,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan pasukan bomba dengan bantuan seorang selebriti yang juga penyampai radio berjaya menyelamatkan seorang lelaki di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berkenaan pada jam 10.23 pagi.
Susulan itu, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd