Sze Fei-Izzuddin hargai bantuan Kien Keat

Sze Fei-Izzuddin hargai bantuan Kien Keat

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan masalah besar menewaskan pasangan Denmark untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik Terbuka Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, hari ini.

Turun selaku pilihan ketujuh kejohanan, Sze Fei-Izzuddin mempamerkan corak permainan menyakinkan untuk menang ke atas Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard straight set 21-15, 21-13 dalam petarungan 38 minit.

Menurut Sze Fei, dia melihat kemenangan hari ini dibantu oleh kerjasama antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sambil dibantu oleh bekas jaguh beregu lelaki negara, Koo Kien Keat dalam persediaan menghadapi kejohanan Super 1000 ini.

Katanya, Kien Keat turut membantu beberapa aspek terutama persediaan mental semasa bermain dan dirinya berharap momentum itu dapat diteruskan di pusingan seterusnya dan melangkah lebih jauh di halaman sendiri.

“Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada BAM dan juga Kien Keat kerana membantu kami membuat persiapan yang lebih baik. Saya rasa dari segi mental. Bukan sahaja dari aspek pelan permainan kami, tetapi juga cara kami berfikir dan membuat persiapan untuk kejohanan.

“Fokus kami sekarang adalah untuk menampilkan prestasi terbaik dan bermain sehabis baik dalam perlawanan Khamis ini. Itu saja,” katanya selepas tamat perlawanan, sebentar tadi.

Sementara itu, Izzuddin pula menyatakan mereka fokus sepenuhnya terhadap perlawanan menentang pasangan Denmark itu dan tampil dengan permainan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan positif.

“Kami tidak memikirkan perkara lain hari ini. Kami hanya masuk ke gelanggang, bermain dengan berani, tenang dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, kemenangan itu membolehkan Sze Fei-Izzuddin membalas dendam kedua kekalahan berturut-turut musim 2025 dan membolehkan mereka menyamakan rekod kemenangan 2-2.

Tahun lalu, Sze Fei-Izzuddin tewas kepada lawan yang sama di pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Di pusingan kedua Khamis ini, menanti mereka sama ada rakan senegara, Chong Hon Jian-Muhammad Haikal atau Ben Lane-Sean Vendy dari England.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top