sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kedudukan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebagai beregu lelaki nombor satu dunia bakal dirampas minggu depan selepas hanya lapan minggu menikmati status berkenaan.
Pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, sudah mengesahkan mereka akan mengambil alih ranking teratas selepas mara ke suku akhir Terbuka Jepun, semalam.
Keputusan itu menyaksikan Won Ho-Seung Jae sudah memiliki mata yang mencukupi untuk memintas kedudukan Sze Fei-Izzuddin tidak kira apa jua keputusan dilakar pasangan profesional negara itu dalam Terbuka Jepun kali ini.
Perubahan itu akan dilihat menerusi kemaskini ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa ini.
Jika pasangan Korea itu berjaya melangkah ke separuh akhir atau final, jurang mata mereka dengan Sze Fei-Izzuddin akan menjadi lebih besar.
Pada 27 Mei lalu, Sze Fei-Izzuddin mencipta sejarah apabila muncul beregu lelaki pertama Malaysia dalam tempoh tujuh tahun untuk bergelar nombor satu dunia – kedudukan yang kali terakhir diraih oleh Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada 2016.
Bagaimanapun, sejak bergandingan awal tahun ini, Won Ho-Seung Jae mempamerkan aksi luar biasa dengan menjuarai empat kejohanan utama – Terbuka Malaysia, Terbuka Jerman, Seluruh England dan Terbuka Indonesia – selain muncul naib juara di India dan Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd