
Pasangan nombor satu dunia tumpas di tangan beregu dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dalam perlawanan akhir sebentar tadi.
IMPIAN beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun 2025 tidak kesampaian.
Pasangan nombor satu dunia itu tumpas di tangan beregu dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dalam perlawanan akhir sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan, Sze Fei-Nur Izzuddin bermula hambar apabila tewas 16-21 dalam saingan set pertama kepada gandingan nombor tiga dunia itu.
Enggan berputus asa, mereka cuba bangkit dengan lebih bertenaga, namun pasangan lawan yang berada pada tahap prestasi terbaik mengesahkan kemenangan 21-17 dalam tempoh 38 minit permainan.
Keputusan pada kejohanan berstatus Super 750 itu menyaksikan Kim Won-ho dan Seo Seung-jae menjarakkan jurang kemenangan kepada 2-1 ke atas Sze Fei-Nur Izzuddin.
Biarpun tewas, Sze Fei-Nur Izzuddin yang pernah menewaskan pasangan Korea Selatan itu di final Terbuka India Januari lalu tetap boleh berbangga apabila membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,250 (RM141,182).
Sementara itu, pasangan Korea Selatan yang muncul juara meraih hadiah wang tunai AS$70,300 (RM298,500).
Keputusan tersebut menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin mengulangi pencapaian yang pernah dilakar oleh tiga beregu legenda negara sebelum ini iaitu Razif-Jalani Sidek (1986), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998) dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002).