T-Rex 'Gus' dilelong RM233 juta

T-Rex 'Gus' dilelong RM233 juta

New York: Rangka bual dinosaur Tyrannosaurus rex (T-rex) yang dikenali sebagai “Gus” berjaya dijual pada Selasa lalu, dengan harga AS$50.1 juta (kira-kira RM233 juta) dalam acara lelongan di pusat lelongan Sotheby’s, New York.

Nilai berkenaan menjadikan “Gus” sebagai fosil dinosaur paling mahal pernah dijual melalui lelongan selepas melalui persaingan sengit selama 10 minit antara tujuh pembida.

“Gus” adalah antara rangka T-rex paling lengkap di dunia dengan 183 tulang fosil. Rangka itu ditemukan di sebuah ladang ternakan lembu di Dakota Selatan pada 2021.

Haiwan gergasi berkenaan dipercayai hidup antara 72 hingga 66 juta tahun lalu iaitu dalam era yang dicirikan oleh iklim panas, paras laut yang tinggi serta kawasan dataran banjir pantai yang luas.

Rangka berkenaan mempunyai ukuran sepanjang 11.6 meter, sekali gus menjadikannya antara spesimen T-rex terbesar pernah ditemukan di dunia, dengan tahap kelengkapan struktur kira-kira 63 peratus.

Pembelian pada 14 Julai oleh seorang pembeli misteri itu menyerlahkan peningkatan permintaan terhadap pasaran fosil dinosaur yang kini semakin berkembang.

Bagaimanapun, trend berkenaan mencetuskan kritikan daripada sebahagian pakar paleontologi yang membangkitkan kebimbangan terhadap tindakan membiarkan spesimen berharga berkenaan dimiliki oleh individu persendirian.

“Amerika Syarikat (AS) adalah satu-satunya negara di dunia yang menganggap fosil seperti ini sebagai harta persendirian,” kata Ketua Sains dan Sejarah Semula Jadi di Sotheby’s, Cassandra Hatton kepada AFP sebelum acara lelongan bermula.

Katanya, sekiranya seseorang memiliki tanah tempat fosil itu ditemukan, individu berkenaan turut memiliki hak penuh terhadap fosil itu termasuk menjualnya.

“Oleh sebab itu, jika anda mahukan seekor dinosaur, ini adalah satu-satunya tempat untuk mendapatkannya,” katanya.

Rekod lelongan fosil yang tertinggi sebelum ini dipegang oleh spesimen Stegosaurus yang dikenali sebagai “Apex”.

Fosil “Apex” berjaya dijual pada harga AS$44.6 juta (kira-kira RM207.4 juta) pada 2024 kepada seorang jutawan dana lindung nilai, Ken Griffin.

Bagaimanapun, pihak Sotheby’s enggan mendedahkan identiti sebenar pembeli misteri yang memperoleh rangka fosil “Gus” itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top