T-Volt bantu mangsa bah

T-Volt bantu mangsa bah

sudirman@hmetro.com.my

TEAM Volunteer Universiti Islam Selangor (UIS) atau T-VOLT dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIS dan Yayasan KUIS menjayakan Misi Pasca Banjir 2024 di beberapa kawasan terjejas di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Pengarah program dari T-VOLT Muhammad Irfan Hilmi berkata, misi ini disertai 30 sukarelawan dan seorang pengiring mendapat sokongan daripada Pusat Khidmat Malaysia Kawasan Alor Setar.

“Program ini bertujuan membantu komuniti yang terjejas akibat banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Alor Setar bagi meringankan beban mereka dengan memberi bantuan berbentuk tenaga kerja.

“Misi ini juga antara inisiatif berterusan kami dalam menyemai nilai kepimpinan, kebersamaan dan sikap prihatin dalam kalangan pelajar UIS.

“Kami berharap usaha ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk turut serta dalam kerja sukarelawan,” katanya.

Menurutnya, sukarelawan terbabit menjalankan aktiviti pembersihan di beberapa lokasi utama termasuk Masjid Halim Syah, Madrasah Tahfiz dan beberapa rumah di Kampung Pantai Johor serta Dewan Orang Ramai Masjid Lutfi dan sebuah rumah di Kampung Suka Menanti.

“Sukarelawan T-VOLT berganding bahu membersihkan lumpur daripada sisa banjir serta membantu menyusun semula peralatan dan barang yang terjejas dalam banjir itu.

“Kami berharap usaha kecil ini dapat memberi kelegaan kepada mangsa banjir dan mempercepatkan proses pemulihan komuniti,” katanya.

Menurutnya yang juga Exco Aktiviti dan Kesukarelawanan MPP, inisitaif ini juga menunjukkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa.

“Misi ini berjaya mencapai matlamatnya dengan sumbangan yang bermakna kepada komuniti di Kedah.

“Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran sosial, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top