Taaveekun Manufacturing sasar jualan RM60 juta akhir tahun ini

Taaveekun Manufacturing sasar jualan RM60 juta akhir tahun ini

Kuala Lumpur: Syarikat Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd (Taaveekun Manufacturing) optimis capai sasaran jualan hingga RM60 juta menjelang akhir tahun ini berbanding lebih RM50 juta pada tahun lalu. Pengasas syarikat, Md Fadzilah Ariffin berkata, keyakinan itu berdasarkan kerjasama pihaknya dengan Pertanian Bersih Sdn Bhd (PBSB) iaitu sebuah syarikat pemula berinovatif di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau yang juga Presiden Kumpulan Taaveekun berkata, ia akan membolehkan rangkaian produk syarikat memiliki Harta Intelek UKM iaitu Teknologi Pertanian Bersih (CAT) dan terdapatnya logo UKM yang akan memudahkan serta merancakkan lagi aktiviti pemasaran Taaveekun. “Taaveekun dengan PBSB akan kerjasama strategik dalam bidang kajian dan pembangunan bagi menuju ke arah pertanian Lestari dengan memfokuskan kepada penyelidikan berasaskan Harta Intelek UKM iaitu CAT dalam menjalankan amalan pertanian bagi mengekalkan kelestarian Rantaian Nilai pertanian. “CAT adalah sistem pertanian yang selamat dan bersepadu yang menggabungkan bahan dan kaedah pertanian berasaskan pengetahuan saintifik dan diaplikasikan pada peringkat awal Rantaian Nilai Asas Tani. “Ia adalah untuk meningkatkan hasil dan kualiti hasil pertanian di samping mengekalkan keharmonian tanah, tumbuhan, alam sekitar dan biodiversiti,” katanya dalam satu kenyataan. Majlis pemeteraian perjanjian antara Taaveekun dengan PBSB yang diketuai Profesor Dr Che Radziah Che Mohd Zain dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi UKM berlangsung baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Md Fadzilah berkata, syarikat yang kini berusia 24 tahun di pasaran berpengalaman dalam bidang pertanian khususnya pengeluaran produk baja untuk pasaran tempatan dan juga ditawarkan di negara jiran termasuk Thailand. Menurut beliau, pasaran di negara gajah putih itu diterokai sejak lima tahun lalu dan sehingga kini syarikat telah mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan di sana. Katanya, syarikat yang dinamakan Taaveekun Agro Thailand adalah salah satu sayap perniagaannya di negara itu selain turut memiliki gudang dan kedai baja yang menawarkan pelbagai barangan lain termasuk produk keperluan pertanian lain. “Taaveekun di dalam Bahasa Thailand makna berganda itu dan syarikat telah mempelajari pelbagai ilmu dan teknologi tentang industri berkenaan dari negara jiran ini. “Biarpun perniagaan kami bermula dari Kedah namun baja yang dibeli dari Thailand, pastinya ramai yang tahu bahawa ia adalah baja yang berkualiti tinggi sekali gus menghasilkan buah yang lebat serta bermutu,” katanya. Sementara itu, antara produk popular Taaveekun adalah perapi tanah atau Soil Amendment dan juga Smart Fertilizer. Antara produk keluaran syarikat adalah Soil Amendment, Smart Green, Smart Red, Smart Blue, baja organik dan baja foliar, yang mana harga jualannya adalah serendah RM60 sekampit. Kapasiti pengeluaran baja dari kilangnya yang terletak di Bukit Kayu Hitam dan ibu pejabat di Kota Sarang Semut, Kedah setiap tahun adalah antara 35,000 hingga 40,000 tan (35 juta tan kilogram (kg) hingga 40 juta tan kg). Selain Thailand, Taaveekun telah bertapak di negara Brunei sejak enam tahun lalu dan sedang mengintai peluang untuk tembusi pasaran Kemboja serta Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top