Tablet untuk pelajar B40 di Terengganu

Permaisuri: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Jaya Holdings, tampil mengagihkan tablet secara percuma kepada pelajar anak keluarga B40 terpilih, bagi memudahkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian di Terengganu.

Pengurus Kanan Pejabat Wilayah Negeri Terengganu ECER, Razlee Hassan, berkata agihan tablet itu sebagai inisiatif membantu pelajar yang berdepan dengan kesukaran untuk mengulangkaji pelajaran terutamanya sepanjang pandemik Covid-19 ini.

Katanya, pelaksanaan Program Empower ECER-ACES sebagai nilai tambah kepada Program Empower ECER bagi meningkatkan kesedaran terhadap Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) di kalangan pelajar.

“Seramai 252 pelajar dari daerah Besut dan Setiu yang menyertai program Empower, dibekalkan tablet untuk kegunaan pelaksanaan program pada tahun ini,” katanya pada Program Cakna Komuniti, Empower ECER Prihatin di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.

Razlee berkata, seramai 10,966 peserta program latihan akademik dan 6,121 peserta latihan kemahiran dan keusahawanan yang mengikuti program empower ECER dari tahun 2011 sehingga kini.

“Seramai 2,600 pelajar dari daerah Besut dan Setiu tamat menjalani program latihan akademik bermula daripada tahun 2016 sehingga 2020.

“Empower ECER adalah program pembangunan modal insan oleh ECERDC yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata, program itu memberi fokus kepada pembangunan modal insan melalui dua cabang program iaitu latihan kemahiran dan keusahawanan untuk peserta dewasa dan latihan akademik untuk para pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam utama,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Malay News
Technology Desk