Tagih baki hutang baiki paip punca remaja dikelar

Tagih baki hutang baiki paip punca remaja dikelar

am@hmetro.com.my

Penampang: Tuntutan baki hutang kerja membaiki paip rumah dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan warga asing dikelar di leher dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 16 tahun mengalami luka di leher serta kecederaan di kepala selepas diserang suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah.

Katanya, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya kerana membantu menjaga kanak-kanak terbabit semasa kakak iparnya keluar bekerja.

“Ketika kejadian, mangsa sedang memegang pisau kerana menyiapkan masakan di dapur sebelum suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia berasa marah.

“Suspek kemudian bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum menggelar leher mangsa dan menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, selepas kejadian suspek melarikan diri dari lokasi sebelum berjaya diberkas polis kira-kira jam 5.50 petang di kawasan semak tepi Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Tambah beliau lagi, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top