Tahan peniaga kedai runcit, polis rampas syabu RM6.53 juta

Tahan peniaga kedai runcit, polis rampas syabu RM6.53 juta

KOTA BHARU: Polis menahan seorang peniaga kedai runcit dipercayai menjadi ahli sindiket pengedaran dadah selepas merampas ketulan syabu bernilai RM6.53 juta yang disorokan di dalam kawasan semak di Kampung Kasar, Pasir Mas di sini pada 25 Ogos lalu.

Rampasan itu dilakukan polis selepas menahan suspek berusia 27 tahun semasa berada di premisnya yang terletak beberapa kilometer dari lokasi penemuan dadah tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan 196 bungkusan mengandungi syabu seberat 204.24 kilogram (kg).

Menurutnya, siasatan mendapati, suspek dipercayai aktif sejak awal Julai lalu dan bertindak sebagai penghantar dadah tersebut dengan menjadikan menjadikan semak di kampung tersebut sebagai transit sebelum diangkut menggunakan kenderaan lain.

“Kesemua dadah tersebut kemudian akan diambil oleh ahli sindiket yang lain sebelum ia akan dihantar untuk dijual bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua dadah itu diseludup melalui pangkalan haram di Kampung Terusan, Rantau Panjang dekat sini menggunakan bot sebelum ia dipunggah ke dalam dua buah kenderaan milik suspek untuk disembunyikan di kawasan semak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Hussein memberitahu, ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai empat rekod dadah dan satu kes ugutan jenayah.

Katanya, ketika ini polis dalam usaha untuk menyita kedai runcit milik suspek yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah.

“Suspek ditahan reman selama 14 hari bermula 26 Ogos lalu sehingga 8 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua 202.2 kg dadah jenis syabu yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 1.02 juta penagih dadah sekiranya ia terlepas ke pasaran. Kita turut menyita sebuah kereta Proton Persona, van Ford Econovan dan wang tunai dalam akaun berjumlah RM708.75,” ujarnya.-UTUSAN

 

Scroll to Top