Tahanan lolos dari lokap mahkamah ditahan semula

Tahanan lolos dari lokap mahkamah ditahan semula

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Polis menahan semula Orang Kena Tahan (OKT) yang melarikan diri ketika dalam tahanan lokap Mahkamah Pasir Mas, di sini, dalam kejadian 10.45 pagi, hari ini

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang berusia 32 tahun itu, ditemui semula pada 2.30 petang tadi, selepas menyorok di kediaman ibu saudaranya di Kampung Kubang Badak, di sini, kira-kira lima kilometer dari lokasi mahkamah.

Katanya, suspek, Muhammad Hasenan Mohd Hashim, didapati melarikan diri ketika proses keluar masuk OKT ke dalam lokap mahkamah.

“Suspek yang dalam keadaan tidak bergari keluar dari sel lokap Mahkamah Majistret dan terus berlari keluar menuju ke pintu hadapan pagar Mahkamah Pasir Mas sebelum menghilangkan diri berdekatan dengan Rumah Dodol Pasir Mas.

“Susulan insiden ini, Op Tutup dijalankan dan 11 sekatan jalan raya (SJR) dibuka sepenuhnya bermula 11.30 pagi tadi, dengan membabitkan semua anggota balai dan bahagian di lapangan.

“Bagaimana pun, hasil maklumat yang diterima anggota bertugas menemui suspek di kediaman ibu saudara sebelum bertindak menangkapnya sekali lagi untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, suspek ditahan pada 25 Januari bersabit kes Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 dan hasil semakan rekod jenayah mendapati OKT juga orang yang dikehendaki bersabit kes Seksyen 39C(1) ADB 1952.

“Siasatan lanjut akan dilakukan ke atas OKT terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd