Tahap getaran sangat minimum

Tahap getaran sangat minimum

razis@mediaprima.com.my

PERTAMA kali melihat model MG5 Serba Baharu yang dilancarkan baru-baru ini, penulis antara yang teruja dengan kereta ini.

Apa tidaknya tampil dengan gaya sporty, peminat automotif pasti akan tertarik dengan keunikan reka bentuk dan saiz kenderaan ini.

Siapa sangka pada minggu lalu, penulis bersama beberapa rakan media berpeluang menyertai The All New MG5 Media Drive 2024 yang julung kali diadakan dua hari satu malam membabitkan perjalanan pergi dan balik Kuala Lumpur- Desaru, Johor sejauh lebih 800 kilometer.

Lebih menarik, penulis diberi peluang memandu kereta berwarna Kuning Nuclear yang dilihat paling menyerlah berbanding empat pilihan warna lain (Merah Dynamic, Putih Arctic, Hitam Pearl dan Kelabu Camden).

Daripada luar, penulis tertarik dengan ciri rekaan gaya bayangan ‘fastback’ serta ‘spoiler ducktail’ dan gril hadapan agresif 3D serta bumbung suria untuk gaya mewah yang menyerlahkan elemen ‘sporty’ yang mampu menarik perhatian golongan muda.

Malah, lampu hadapan LED, lampu nyalaan siang (DRL) serta padanan rim aloi 17 inci Tomahawk mampu menyerlahkan keseluruhan rekaan kenderaan ini apabila berada atas jalan raya.

Penulis difahamkan, model ini adalah yang terbesar dalam segmennya kerana memiliki dimensi panjang 4,675 milimeter (mm), 1,842mm lebar, 1,480mm tinggi dan 2,680mm untuk jarak roda.

Menjengah dalam ruang kabin, MG5 dilengkapi dengan meter digital LCD tujuh inci sepenuhnya pada kokpit serta sistem infotainmen ‘terapung’ bersaiz 10.25 inci, roda stereng tiga jejari serta butang fungsi yang membantu pemanduan penulis.

Bagi penulis, elemen konsep berlian terdapat pada corak hiasan dalam dengan rekaan geometri menambah sentuhan elegan.

Untuk 130 kilometer pertama, penulis berada di tempat duduk pemandu hadapan, dapat merasai keselesaan kerusi untuk menempuh perjalanan jauh.

Daripada segi pemanduan, penulis dapat rasakan keselesaan dan kestabilan ketika mengendalikan stereng pada kelajuan yang melebihi 100km/j.

Malah, pada kelajuan tinggi, tahap kebisingan dan getaran adalah sangat minimum biarpun memecut pada kelajuan 110km/j. Hati-hati ketika menekan pedal minyak kerana kadangkala anda boleh memecut melebihi had kelajuan yang dibenarkan tanpa anda sedari.

Dengan kuasa yang didatangkan dengan enjin petrol 1,498 cc DOHC 4-silinder 16 injap VTi-tech yang menawarkan kuasa 114PS pada 6,000 rpm dan tork 150Nm pada 4,500rpm serta transmisi lapan kelajuan iCVT, anda akan rasa berbaloi dengan nilai yang dibayar untuk mendapatkan kereta ini.

Model ini juga didatangkan dengan suspensi hadapan Independent MacPherson Strut dengan penstabilan dan belakang menerusi torsion beam untuk mendapat kestabilan ketika memecut dan mengambil selekoh tajam.

Ketika duduk di tempat duduk belakang, penulis rasakan ruang kaki dan kepala agak luas. Malah, keselesaan penumpang belakang tidak diabaikan kerana MG5 yang turut dilengkapi corong penyaman udara.

MG5 turut dilengkapi dengan ciri keselamatan dengan enam beg keselamatan SRS, sistem kawalan pelayaran serta MG PIlot iaitu Amaran Keluar Laluan, Bantuan Menukar Laluan, Pengesan Titik Buta, Amaran Perlanggaran dan Pengesan Trafik.

Secara keseluruhan, model ini menawarkan pengalaman pemanduan yang menarik bagi mereka inginkan pakej lengkap untuk sebuah kereta pada harga mampu milik.

Didatangkan pada harga pengenalan RM86,900 (selepas rebat RM7,000) dengan reka bentuk luaran yang lebih sporty, pelbagai fungsi menarik dan prestasi yang memberangsangkan, MG5 mampu memberi saingan kepada jenama segmen B yang sudah lama bertapak di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top