Tahap keselamatan kekal tenteram dan terkawal

Tahap keselamatan kekal tenteram dan terkawal

am@hmetro.com

Kuala Lumpur: Tahap keselamatan negara ketika ini kekal berada dalam keadaan tenteram dan terkawal sepenuhnya walaupun berdepan pelbagai isu geopolitik semasa.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, rakyat tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan awam namun dinasihatkan agar sentiasa berwaspada menjalani kehidupan seharian.

“Setakat ini, Alhamdulillah, negara kita berada dalam suasana yang tenteram dengan keselamatan yang terjamin.

“Bagaimanapun, saya menyeru kepada rakyat supaya sentiasa berhati-hati dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab harian, di samping sentiasa berkongsi perkara-perkara yang positif bersama masyarakat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khalid diiringi Pengarah Cawangan Khas, Datuk Ibrahim Darus mengadakan lawatan korporat ke atas koglomerat media terbesar, Media Prima Berhad (MPB).

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Mohd Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MPB, Rosli Sabarudin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh serta Timbalannya, Farrah Naz Abd Karim.

Selain itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Aida Abdul Hamid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Pengarah Pengurusan, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid; Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali .

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai cabaran ekonomi semasa dan menyokong penuh seruan kerajaan agar rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat.

Mohd Khalid berkata, ketegangan dan konflik yang sedang memuncak di Asia Barat pada ketika ini memberikan kesan yang negatif terhadap ekonomi dunia dan Malaysia turut tidak terkecuali daripada menerima tempias berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum adalah perisai paling penting bagi mendepani situasi global yang tidak menentu.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu. Ini bagi memastikan bukan sahaja keselamatan negara, malah ekonomi negara sentiasa terpelihara dan terjaga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top