Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji tindakan pantas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, semalam.
Beliau berkata, tindakan berkenaan membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara tidak menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Tahniah AKPS atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas.
“Tindakan ini membuktikan ketegasan Malaysia untuk memastikan negara kita tidak sekali-kali menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague serta larangan yang telah berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel dan kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara.
“Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin,” tegas beliau.

Sementara itu, AKPS dalam kenyataan memaklumkan kontena berkenaan disita semalam selepas pihaknya menerima maklumat risikan sebelum pemeriksaan dijalankan.
“Berdasarkan semakan awal, penghantaran itu disyaki tidak mematuhi Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel.
“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.
“Ia termasuk menentukan sama ada barangan itu adalah barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan perundangan subsidiari yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, AKPS menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan dasar, sekatan dan undang-undang negara berkaitan Israel.
Agensi itu turut menyatakan pendirian kerajaan berhubung perkara berkenaan kekal jelas dan konsisten.
“Sebarang percubaan untuk mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan kerajaan akan diambil tindakan tegas,” ujarnya.
Sumber: FB Anwar Ibrahim




