Tahniah! Dhabitah Sabri dah bernikah dengan pelawak, Jiggy

Tahniah! Dhabitah Sabri dah bernikah dengan pelawak, Jiggy

Pelawak dan pelakon, Jiggy mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga dengan atlet penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dalam sebuah majlis tertutup pada Jumaat lalu.

Menurut laporan Astro Gempak, pelawak berusia 33 tahun itu berkata, dia dan isteri tiada niat merahsiakan pernikahan sebaliknya menunggu waktu yang sesuai bagi berkongsi berita gembira tersebut.

“Alhamdulillah, dengan sekali lafaz saya sah menjadi suami kepada Dhabitah pada Jumaat. Majlis akad nikah kami diadakan secara tertutup yang dihadiri ahli keluarga seramai 150 sahaja.
“Kami tak ada niat pun nak sorok apa-apa… cuma nak jaga amanah dan janji keluarga kedua-dua belah pihak untuk tidak umumkan apa-apa selagi belum sah.
“Saya nak minta maaf kepada rakan media sebab sebelum ini saya tak respon soalan mengenai kami sebab seperti yang saya katakan, nak jaga janji dan amanah keluarga,” kata ahli kumpulan lawak Masin itu.

Bercerita mengenai detik perkenalan, Jiggy berkata mereka mula berkawan ketika bertemu di sebuah sesi fotografi sebelum menjadi hubungan menjadi rapat sekali gus ke fasa lebih serius.

“Saya dan Dhabitah dah kenal lebih kurang setahun lebih juga la. Mula-mula kami berkawan saja sebab jumpa masa sesi fotografi sama-sama.
“Kemudian kebetulan ada shooting program sama-sama. Jadi, dari situ macam rapat tapi memang tak ada plan nak kahwin ke waktu itu. Tapi, alhamdulillah jodoh kami,” ujarnya.

Difahamkan, mereka belum mempunyai tarikh bagi melangsungkan majlis resepsi memandangkan atlet berusia 23 tahun itu perlu menjalani sesi latihan sukan di China selama sebulan.

“Majlis buat dekat rumah Dhabitah… InsyaAllah resepsi ada tapi masih dalam perbincangan sebab dua-dua sibuk dan Dhabitah pun ada big competition coming including olympic, asian games.
“Dia kena pergi China dalam sebulan untuk sesi latihan. Tapi once ada tarikh, InsyaAllah saya update untuk jemput kawan-kawan media,” kongsinya lagi.

Untuk rekod, Jiggy atau nama sebenarnya Mohammad Aizat Ahmad Nazri pernah berkahwin dengan pengacara Elly Ariffin pada 9 September 2016. Namun, mereka berpisah pada 30 Januari 2020 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sumber: Astro Gempak (Asyikin Mayudin), Instagram Jiggy Masin & Dhabitah Sabri