'Tahu apa yang berlaku terhadap aktivis GSF namun kami tetap bersemangat'

'Tahu apa yang berlaku terhadap aktivis GSF namun kami tetap bersemangat'

razis@mediaprima.com.my

Serdang: Semua aktivis termasuk delegasi dari Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) tetap bersemangat biarpun menyedari cabaran besar yang menanti mereka sekiranya ditahan pihak berkuasa Israel.

Penolong Ketua Delegasi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata, tindakan keras dan layanan buruk tentera Israel terhadap peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan baru-baru ini, tidak melunturkan semangat mereka untuk meneruskan misi kemanusiaan itu, demi membantu penduduk Gaza.

“Kami mengikuti apa yang berlaku terhadap tawanan yang ditahan itu, ada diberitakan mendapat layanan yang buruk, (menerima) tekanan dan bahkan ada yang ‘physical assault’ (serangan fizikal).

“Tapi setakat ini, setiap kali kami membuat pertemuan dengan Kapten, kami semua cukup bersemangat dan (pada masa sama) kami bersedia dengan apa saja yang berlaku,” katanya dalam telesidang secara langsung ketika sidang media di Pejabat Urusan Mycare di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Afandi berkata, sehingga kini kapal yang mereka naiki masih lagi berlabuh di tengah Laut Mediterranean sementara menunggu ketibaan beberapa kapal lain.

Katanya, pada masa, pihaknya turut mengambil kira faktor sejarah kerana tidak mahu kapal menghampiri Gaza pada tarikh 6 atau 7 Oktober yang dianggap sensitif dalam sejarah konflik Israel dan Palestin.

“Jadi saya kira itu tarikh yang agak berbahaya. Kalau kita memasuki pada tarikh itu, kita tidak mahu ia dilihat sebagai provokasi dan seakan-akan kami cuba kaitkan dengan tarikh itu.

“Jadi, itu antara kewajaran ataupun antara faktor-faktor yang kita ambil kira. Selain daripada kita menunggu kapal-kapal kecil bersama, kita juga (ambil kira) faktor sejarah itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, dalam gelombang ketiga flotilla ke Gaza, sembilan kapal di bawah FFC x TMTG berlepas dari Itali pada 27 September lalu, manakala kapal Conscience dilepaskan dari Porto Otranto.

Dalam misi berkenaan lapan delegasi Malaysia menaiki kapal Conscience milik FFC, terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua orang pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Misi itu juga membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top